WhatsApp PMX AI: Kongsi aduan, aspirasi terus kepada 'kembar' PM

Iklan
Kembar digital Anwar diperkenalkan sebagai saluran komunikasi baharu bagi membolehkan rakyat berkongsi idea, pandangan dan kebimbangan secara terus.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat menyertai inisiatif komunikasi baharu dengan berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus kepada beliau melalui avatar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform WhatsApp PMX AI.

Anwar berkata, rakyat boleh menyalurkan pandangan menerusi saluran avatar beliau kerana negara hanya akan bertambah baik apabila ia berpaksi kepada suara dan kehendak rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, Malaysia dibina oleh cita-cita, kudrat dan kekuatan rakyat yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum serta budaya.

"Saya mengajak semua untuk ikut serta dalam kempen ini dan mula mencipta wacana yang segar untuk negara dan rakyat menerusi pautan https://wa.me/60378850523," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Tangkap layar video yang turut dimuat Anwar di Facebook beliau pada Sabtu.

Hantaran itu dimuat naik bersama video berdurasi dua minit 32 saat yang memperlihatkan avatar digital dirinya hasil janaan teknologi AI.

Iklan

Dalam video berkenaan, Anwar berkata, tiada seorang pemimpin mampu berada di semua tempat pada setiap masa, justeru teknologi AI membuka dimensi baharu dalam komunikasi antara pemimpin dan rakyat.

"Tidak seorang pemimpin mampu berada di mana-mana pada setiap masa. Itulah hakikatnya.

"AI membuka satu dimensi baharu. Suara rakyat didengari, aspirasi lebih difahami dan idea diteroka bersama merentasi masa serta sempadan. Inilah evolusi komunikasi negara," ujarnya.

Anwar berkata, avatar berkenaan bukan sekadar gambaran digital dirinya, sebaliknya satu pendekatan baharu untuk meneruskan hubungan dengan rakyat.

Menurutnya, avatar itu berperanan sebagai ‘kembar digital yang diinspirasikan daripada nilai dan visi beliau dalam memimpin negara.

"Bukan sekadar avatar, ia lanjutan digital diri saya. Sedia mendengar, membantu dan berkhidmat untuk rakyat. Kini avatar Anwar berhimpun, pelbagai peranan satu matlamat.

"Inilah avatar saya, kembar digital yang diinspirasikan oleh nilai dan visi saya. Satu cara baharu untuk kita berhubung, berkongsi pandangan dan meneroka idea," tambah beliau.

Beliau berkata, teknologi tersebut selari dengan usaha membina masa depan negara menerusi ilmu, integriti dan kerja keras.

"Masa depan tidak ditunggu. Ayuh kita bina dengan ilmu, integriti dan kerja keras demi rakyat. Demi Malaysia Madani dan inilah dunia Madani Multiverse," katanya.

Anwar turut mengaitkan perjalanan hidupnya menerusi beberapa nilai utama termasuk ilmu, iman, reformasi, kepimpinan dan visi untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan.

Beliau berkata, inovasi perlu dipacu bagi memperkasakan peluang serta mewujudkan kemakmuran bersama.

“Saya telah mengabdikan hidup saya untuk berkhidmat. Bukan sekadar perjuangan, tetapi amanah untuk negara, rakyat dan generasi akan datang. Kini kita melangkah ke hadapan.

“Bertahun-tahun lamanya, rakyat Malaysia mengenali saya melalui pelbagai fasa kehidupan. Melalui hikmah, menuntut ilmu sepanjang hayat. Melalui iman, berpandukan nilai, ihsan dan tanggungjawab.

“Melalui reformasi, perubahan itu pasti saat kita teguh pada keadilan dan integriti. Melalui kepimpinan, berkhidmat untuk negara dengan amanah serta iltizam. Melalui harapan generasi muda, mendengar impian, memahami aspirasi, membina masa depan bersama,” tegasnya.