Subsidi diesel: KPDN kuat kuasa, MOF urus dasar dan peruntukan - Armizan

Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita di Kampung Sekalong, Menumbok, Kuala Penyu pada Sabtu.

KUALA PENYU - Kementerian Kewangan (MOF) merupakan agensi pusat yang merangka dasar penyasaran subsidi diesel, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab melaksanakan dasar berkenaan di peringkat stesen minyak.

Menjelaskan peranan kedua-dua kementerian itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebarang penambahbaikan berkaitan polisi penyasaran subsidi diesel perlu dirujuk kepada MOF sebagai agensi pusat yang merangka dasar berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sebagaimana yang saya sebut, penyasaran subsidi bahan api ini, agensi pusat yang merangka polisinya, dasarnya adalah MOF dan kemudiannya, dari segi pelaksanaan diagih-agihkan kepada kementerian-kementerian tertentu mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Sekalong, Menumbok, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sebelum itu, beliau diminta menjelaskan kekeliruan berhubung peranan KPDN dan MOF dalam penyasaram subsidi berkenaan, susulan KPDN yang sering menjadi sasaran berhubung isu tersebut.

Jelasnya lagi, KPDN bertanggungjawab terhadap kawal selia stesen minyak, menyebabkan kementerian itu terlibat dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Iklan

"Di peringkat KPDN, kita bertanggungjawab terhadap kawal selia stesen minyak. Jadi bila mana penyasaran subsidi bahan api, pelaksanaannya adalah di stesen minyak, maka KPDN datang dari segi pelaksanaan," katanya.

Beliau berkata, sebarang penambahbaikan terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi diesel perlu melibatkan MOF kerana ia berkaitan dengan dasar dan polisi subsidi berkenaan.

"Jadi apa pun sebarang penambahbaikan, ia terkait dengan polisi. Jadi polisi itu adalah agensi pusatnya adalah MOF.

"Itu sebab rundingan dan libat urus untuk menambah baik pelaksanaan ini diketuai oleh MOF," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Kampung Angkat Madani, Armizan berkata, pemilihan kampung berkenaan mengambil kira beberapa faktor ditetapkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), termasuk kemudahan asas yang masih belum mencapai 50 peratus.

"Salah satu faktor yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri adalah kampung-kampung yang didapati kemudahan asas dia masih lagi belum mencapai 50 peratus.

"Maksudnya masih banyak yang perlu dilakukan dari segi capaian telekomunikasi, infrastruktur fizikal. Jadi itu adalah kampung-kampung yang menjadi keutamaan, jadi luar bandar dan juga pedalaman," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan lima projek kecil infrastruktur rakyat untuk di kampung berkenaan.

"Insya-ALLAH akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebaik sahaja selesai pelancaran ini dan lima projek berkenaan dijangka disiapkan dalam tahun ini juga," katanya.

Program Kampung Angkat Madani tahun ini menyasarkan kira-kira 500 kampung di seluruh negara, membabitkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun.