KUALA PENYU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diharap dapat menyegerakan pengeluaran kad pengenalan versi baharu yang dilengkapi kod QR bagi menyokong agenda penyasaran subsidi minyak masak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kad pengenalan baharu itu dijangka dikeluarkan tahun ini, sekali gus akan memberi pilihan kepada pengguna untuk membuat pembelian minyak masak bersubsidi menggunakan MyKad.
Katanya, ketika ini pembelian minyak masak adalah melalui kod QR daripada aplikasi Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS).
"Anda perlu memuat turun aplikasi di telefon, membuat pembelian dan direkodkan siapa yang membeli.
"Sekarang ini, kita menunggu JPN untuk mengeluarkan versi baharu MyKad. Insya-ALLAH tahun ini juga, MyKad baharu ini akan ada kod QR. Jadi maksudnya nanti ada pilihan. Sama ada guna telefon dengan kod QR yang diimbas, ataupun nanti guna MyKad sahaja.
"MyKad boleh diimbas dengan kod QR yang ada dan kita boleh merekodkan transaksi tersebut. Jadi itu lebih baik. Kita harap JPN dapat menyegerakan pengeluaran kad pengenalan versi baharu itu yang cukup penting dalam agenda penyasaran subsidi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Sekalong, Menumbok, di sini, pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau diminta mengulas berhubung syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah KPDN.
Armizan berkata usaha menambah baik pelaksanaan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) telah dimulakan KPDN sejak 2023, termasuk melalui pembangunan sistem eCOSS.
Katanya, sebelum sistem itu diperkenalkan, pengurusan dan perekodan bekalan minyak masak bersubsidi daripada kilang penapis hingga ke syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit dilakukan secara manual sejak pelaksanaan COSS pada 2007.
"Apabila direkodkan secara manual, pastinya akan ada risiko manipulasi dan risiko ketirisan, termasuk dari segi pengedaran berapa yang sampai dan berapa yang keluar.
"Begitu juga tuntutan subsidi kerana semuanya dilakukan secara manual," katanya.
Beliau berkata, melalui fasa pertama eCOSS yang diperkenalkan pada 2023, perekodan transaksi diwajibkan bagi keseluruhan rantaian bekalan, bermula daripada kilang penapis sehingga ke peringkat peruncit.
Katanya, sistem itu kemudiannya diperkukuhkan tahun lalu melalui aplikasi eCOSS bagi melengkapkan perekodan sehingga ke peringkat pembelian akhir oleh pengguna.
"Kalau sebelum itu hanya sehingga ke peringkat kedai runcit dan pasar raya, tetapi siapa yang membeli kita tidak tahu.
"Namun bermula tahun lalu, siapa yang membeli pun kita ada rekodnya secara digital. Jadi kita boleh mempunyai data untuk mengetahui siapa sebenarnya yang membeli dan pada masa sama menentukan hala tuju program ini," katanya.
Beliau berkata, KPDN turut menjalankan naziran dalaman terhadap syarikat pembungkus minyak masak bermula Disember 2023 hingga Jun 2024, selain mengambil kira laporan audit Jabatan Audit Negara dan laporan PAC bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
"Kita akan gunakan semua laporan ini, sama ada audit dalaman, laporan daripada Jabatan Audit Negara mahupun PAC, untuk menambah baik apa yang perlu.
"Matlamat akhirnya adalah supaya manfaat dengan jumlah peruntukan yang besar ini betul-betul sampai dan digunakan oleh rakyat secara bersasar," katanya.
Armizan berkata pelaksanaan agenda penyasaran subsidi perlu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan golongan rentan tidak terkesan.
"Mana-mana agenda penyasaran subsidi perlu kita laksanakan secara berperingkat supaya dalam pelaksanaan itu tidak ada golongan, khususnya golongan rentan, terkesan. Sebab itu kita laksanakan secara berperingkat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN mengalu-alukan laporan dan perakuan PAC berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak, khususnya mengenai kepentingan sistem eCOSS.
"Kita amat mengalu-alukan perakuan yang dibuat oleh PAC bahawa sistem eCOSS itu amat penting dan perlu disegerakan peralihan sepenuhnya.
"Ini menandakan usaha yang telah kita mulakan sejak 2023 mendapat perakuan daripada salah satu institusi iaitu PAC tentang kepentingan penambahbaikan eCOSS," katanya.