Aminuddin mahu bangunkan pelabuhan, kawasan perindustrian di Linggi

Iklan
Aminuddin (tengah) ketika tiba untuk proses penamaan calon bag DUN Linggi di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson pada Sabtu. Foto Bernama

PORT DICKSON - Datuk Seri Aminuddin Harun menggariskan perancangan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi termasuk mewujudkan pelabuhan dan kawasan perindustrian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, pembangunan tersebut adalah antara pembaharuan yang dirancang bagi meningkatkan kemudahan dan peluang ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya tidak berjanji (tetapi) saya telah melaksanakan... insya-ALLAH, sebuah pelabuhan akan ada, kawasan perindustrian akan ada… ini satu pembaharuan yang akan ada di DUN Linggi,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah di sini, Sabtu.

Beliau berkata, bertanding di kawasan yang dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN) berdepan penyandang Datuk Mohd Faizal Ramli bukan satu cabaran mudah namun berharap jentera PH dapat membantu memastikan kempen berjalan lancar.

Iklan

"Terima kasih kepada parti yang memberikan peluang kepada saya... cadangan ini saya sampaikan sendiri kepada kepimpinan dan telah diterima... jadi, saya terpaksa menggalas cabaran ini dan saya akan berusaha sehingga menang.

"Saya kena berani untuk memperjuangkan Pakatan Harapan di DUN Linggi... saya harap pengundi dapat membuat keputusan yang bijak pada pilihan raya kali ini," katanya.

Iklan

Aminuddin berdepan pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, jentera BN tidak boleh mengambil mudah saingan pada PRN kali ini walaupun DUN Linggi ialah kubu kuat gabungan berkenaan.

Beliau berharap kempen selama dua minggu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi melampau, fitnah atau tuduhan tidak berasas.

DUN Negeri Sembilan, yang memiliki 36 kerusi, dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 28 Julai ini. - Bernama