PRN Negeri Sembilan: Leevineshwaraan calon termuda, Tok Mat antara paling otai

Iklan
Leevineshwaraan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerancakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang bermula hari ini menyaksikan M Leevineshwaraan mencuri tumpuan apabila muncul sebagai calon termuda bakal bersaing merebut mandat rakyat.

Mewakili Bersatu, anak muda berusia 23 tahun itu akan menguji kredibilitinya dalam persaingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung.

Iklan
Iklan

Leevineshwaraan dijangka berdepan cabaran getir apabila menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr G Rajasekaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kawasan itu pada pilihan raya lepas dengan majoriti 3,996 undi.

Rekod calon termuda sebelum ini dipegang oleh Muhammad Syakir Fitri Sadri yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Paroi ketika berusia 25 tahun pada 2023. 

Iklan

Sri Tanjung ialah satu daripada lima DUN di bawah Parlimen Port Dickson dan pada pilihan raya kali ini, seramai 19,590 pemilih berdaftar layak mengundi di kawasan itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan Abd Latif A Tambi daripada PH, masing-masing berusia 70 tahun, diangkat sebagai calon tertua pada PRN kali ini. 

Iklan

Mohamad, yang juga penyandang kerusi DUN Rantau, dan Abd Latif yang bertanding di DUN Gemencheh, masing-masing berdepan saingan satu lawan satu.

Mohamad bersalaman dengan penyokong selepas pengumuman calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Rembau pada Sabtu. Foto Bernama

Pada PRN lepas, rekod calon tertua dipegang oleh Bujang Abu, 72, yang bertanding atas tiket Bebas.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat bertanding kali ini selepas gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Rantau terletak dalam Parlimen Rembau dan pada PRN kali ini, terdapat 34,831 pemilih layak mengundi manakala DUN Gemencheh, yang terletak dalam Parlimen Tampin, mempunyai 24,916 pemilih yang layak.

PRN kali ini juga menyaksikan sembilan daripada keseluruhan 103 calon ialah wanita, dengan PH mempertaruhkan jumlah tertinggi iaitu empat orang.

Statistik itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding pilihan raya sebelum ini yang menyaksikan penglibatan lapan wanita daripada keseluruhan 83 calon bertanding.

SPR menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh pengundian awal manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi. - Bernama