PRN Negeri Sembilan: SPR tubuh 36 pasukan penguat kuasa pantau kempen

Iklan
Ramlan Harun - Foto: Bernama

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tempoh rasmi berkempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan calon selesai pada hari penamaan calon dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 31 Julai depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua calon perlu mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan, termasuk syarat berkaitan penggunaan bahan kempen.

“Calon hendaklah membayar deposit bahan kempen pilihan raya dan tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan serta mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti serta gambar pemimpin parti yang diwakilinya.

Iklan

“Bahan kempen seperti iklan, risalah, pelekat dan poster juga hendaklah mengandungi nama serta alamat pencetak dan penerbit, kecuali bagi bendera, poster yang memaparkan simbol parti serta gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding,” katanya dalam kenyataan media berhubung urusan penamaan calon PRN Negeri Sembilan pada Sabtu.

Beliau berkata, bahan kempen yang mengandungi perkataan berunsur perkauman, menyentuh sensitiviti agama atau berbentuk hasutan sehingga boleh menimbulkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

Iklan

Menurutnya, SPR berharap semua pihak dapat menjalankan kempen dalam suasana harmoni serta mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Ramlan berkata, bagi memastikan integriti pilihan raya terus terpelihara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan turut mengaktifkan Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam sehari bermula 18 Julai hingga 2 Ogos bagi menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen.

Tambahnya, bagi memudahkan urusan liputan media, Kementerian Komunikasi mengoperasikan tiga Pusat Media di Hotel Seri Malaysia, Seremban; Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Gentam, Kuala Pilah; dan NADI Kampung Paya, Port Dickson bermula 17 Julai hingga 1 Ogos, selain mengaktifkan 60 pusat NADI di seluruh Negeri Sembilan sebagai pusat media sokongan.

“SPR merakamkan ucapan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan lancar pada hari penamaan calon.

“Penghargaan turut dizahirkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Kementerian Komunikasi, petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan urusan pilihan raya,” katanya.