SHAH ALAM – Kerajaan perlu memberikan penjelasan yang telus kepada rakyat mengenai dasar berkaitan pemprosesan dan eksport nadir bumi bagi memastikan kepentingan negara terus dipelihara selain mengelakkan timbul persepsi digunakan dalam rantaian bekalan industri peperangan.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kebimbangan itu timbul susulan laporan bahawa syarikat pelombong nadir bumi Australia yang beroperasi di Pahang, Lynas memeterai perjanjian dengan Pentagon pada Mac lalu untuk membekalkan nadir bumi bernilai AS$96 juta bagi tempoh empat tahun.
Beliau berkata, walaupun nadir bumi merupakan sumber strategik yang penting untuk pembangunan teknologi moden dan pertumbuhan ekonomi, sebarang kemungkinan bahan yang diproses di Malaysia digunakan dalam rantaian bekalan industri pertahanan kuasa besar perlu diberi perhatian serius.
"Ketelusan dalam perkara ini amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan kepentingan negara sentiasa dipelihara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai negara yang konsisten memperjuangkan keamanan, menolak penindasan dan mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.
Jelasnya, pendirian negara yang tegas menyokong hak rakyat Palestin serta menggesa penyelesaian damai terhadap konflik antarabangsa tidak seharusnya dicemari dengan persepsi bahawa sumber yang diproses di negara ini akhirnya menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri peperangan.
Menurutnya, nadir bumi bukan lagi sekadar komoditi perdagangan kerana mineral itu mempunyai nilai strategik yang tinggi.
"Ia digunakan dalam pelbagai teknologi canggih termasuk sistem radar, peluru berpandu, pesawat pejuang, dron, kapal selam dan pelbagai kelengkapan pertahanan moden.
"Malaysia perlu mempunyai dasar nasional yang komprehensif berkaitan mineral kritikal," katanya.
Tambahnya, dasar itu perlu mengimbangi keperluan menarik pelaburan asing dengan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara, kepentingan strategik nasional serta reputasi Malaysia sebagai negara yang mengangkat nilai keamanan dan keadilan.
Beliau turut mencadangkan semua syarikat yang beroperasi dalam sektor nadir bumi tertakluk kepada piawaian tadbir urus yang tinggi.
"Syarikat terbabit perlu mengamalkan ketelusan, akauntabiliti serta due diligence terhadap rantaian bekalan masing-masing.
"Malaysia tidak boleh dilihat cenderung memihak kepada mana-mana kuasa besar sehingga menjejaskan dasar berkecuali dan hubungan baik dengan negara lain," katanya.
Beliau turut menggesa Parlimen, pakar industri, badan bukan kerajaan, ahli akademik serta masyarakat sivil dilibatkan dalam merangka dasar berkaitan nadir bumi.
Ujarnya, pendekatan itu mampu menghasilkan dasar yang lebih menyeluruh, telus dan berupaya menangani cabaran ekonomi, keselamatan serta geopolitik yang semakin kompleks.
"Malaysia tidak boleh hanya melihat nadir bumi sebagai sumber pendapatan atau pelaburan semata-mata.
"Sumber strategik ini adalah amanah negara yang perlu diurus dengan penuh kebijaksanaan agar manfaat ekonominya tidak mengatasi tanggungjawab moral dan kemanusiaan," katanya.
Tegasnya, kerajaan perlu memperjelaskan pendirian rasmi negara, mengkaji semula kerangka dasar berkaitan mineral strategik, memperkukuh mekanisme kawal selia serta memastikan segala aktiviti berkaitan nadir bumi.
"Ini bagi memastikan ia sentiasa selaras dengan kepentingan negara, prinsip keamanan dan komitmen Malaysia terhadap keamanan dunia.