PRN Negeri Sembilan: Mohamad Hasan dicabar Dr Azizul Hakim di DUN Rantau

Iklan
Mohamad akan berdepan persaingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan calon PH, Dr Azizul Hakim di Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Rembau. Foto Bernama

REMBAU - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan saingan satu lawan satu apabila Menteri Luar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Zamri Mohd Esa selepas selesai proses penamaan calon yang bermula pada 9 pagi tadi di Dewan Sri Rembau di sini, Sabtu.

Iklan
Iklan

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO merupakan penyandang kerusi berkenaan sejak 2004.

Ahli Parlimen Rembau itu yang ditemui pemberita selepas itu berkata, fokus BN sepanjang tempoh berkempen ialah menjelaskan manifesto parti serta meyakinkan rakyat supaya memberikan mandat kepada BN pada hari pengundian.

Iklan

"Proses penamaan calon telah selesai dan semua borang pencalonan diterima, selepas ini, tempoh berkempen digazetkan akan bermula. Saya harap jentera BN dapat menjalankan gerak kerja tersusun dan teratur kerana gerak kerja yang baik akan menghasilkan keputusan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Dr Azizul Hakim berkata, walaupun berdepan dengan calon berprofil tinggi, beliau menawarkan kelainan sebagai calon muda dan profesional yang akan memberikan tumpuan kepada inisiatif kesihatan serta penyelesaian isu setempat.

Iklan

Beliau berkata, pengalaman sebagai doktor perubatan selama 10 tahun serta pemilik tiga klinik, masing-masing di Senawang, Puncak Alam dan Melaka membolehkan beliau memahami keperluan masyarakat, terutama dalam aspek penjagaan kesihatan.

"Saya mahu hadir ke Rantau sebagai doktor perubatan yang berkhidmat untuk rakyat, kita mahu setiap penduduk Rantau berada dalam keadaan sihat dengan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” kata calon berusia 35 tahun itu.

Pada PRN 2023, Mohamad memperoleh 16,957 undi menewaskan calon PH Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi dengan majoriti 10,280 undi.

Sementara itu, bagi DUN Paroi pula, Setiausaha akhbar kepada Menteri Besar yang juga calon PH, Ahmad Shahir Mohd Shah ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin dan Mohd Nazree Mohd Yunus daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagi DUN Chembong, penyandang kerusi itu yang juga calon BN, Datuk Zaifulbahri Idris akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon PH Danish Nazran Murad, manakala bagi DUN Kota, penyandang Suhaimi Aini (BN) ditentang calon PH, Muhammad Allif Ibrahim dan calon Bersatu, Akmal Noradzmi Abdul Rahim.

Penyandang DUN Chembong yang juga calon BN, Zaifulbahri akan berdepan calon PH, Danish Nazran, bergambar bersama selepas pengumuman calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Rembau. Foto Bernama

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai ini sebagai hari pengundian awal, manakala 1 Ogos ialah hari mengundi.

Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis. - Bernama