KUMPULAN Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) terus meneroka dan melaksanakan segala saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburannya berkaitan eFishery.
Menurut KWAP dalam kenyataan pada Sabtu, jumlah keseluruhan pelaburan dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat tersebut.
KWAP merupakan pemegang saham minoriti manakala majoriti saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan.
"KWAP ingin memberikan penjelasan lanjut mengenai tindakan yang telah diambil susulan semakan dalaman yang dilaksanakan serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi melindungi kepentingan dana.
"Susulan pendedahan salah laku tersebut, KWAP telah melaksanakan semakan dalaman yang menyeluruh terhadap proses pelaburan, susunan pemantauan pascapelaburan serta maklumat yang tersedia kepada KWAP sepanjang tempoh pelaburan tersebut,” katanya.
Menurut KWAP, tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabilitinya.
"Kes eFishery secara keseluruhannya melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat tersebut.
"Pada 29 April 2026, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun oleh Mahkamah Negeri Bandung selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram,” katanya.
Menurut KWAP, pihaknya terus memperkukuh pendekatannya terhadap pelaburan pasaran swasta.
"Langkah-langkah tersebut merangkumi kepelbagaian portfolio yang lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana berpengalaman dan rakan kongsi strategik, pemantauan pascapelaburan yang dipertingkatkan serta pengawasan yang lebih rapi terhadap perkembangan material yang melibatkan syarikat portfolio,” katanya.
Dana KWAP kekal kukuh dan disokong oleh portfolio yang merangkumi pelbagai kelas aset, sektor dan geografi.
Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025, KWAP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM8.33 bilion, dengan jumlah dana di bawah pengurusan meningkat kepada RM195.26 bilion.
KWAP komited untuk menguruskan dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan mandat berkanunnya bagi membantu kerajaan memenuhi obligasi pencen kepada pesara sektor awam.
Khamis lepas, dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa pelaburan KWAP dalam eFishery merupakan satu penipuan terancang.
Menurut MOF, terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat itu.
"Susulan perkembangan tersebut, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas dari segi tindakan undang undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan pengukuhan kawalan,” katanya. - Bernama