KINABATANGAN - Seorang lelaki ditemukan maut akibat dibaham buaya ketika sedang mencuci bot di sungai Kampung Batu Putih di sini pada Sabtu.
Mayat Rusli Mardin, 57, ditemukan dengan kesan gigitan haiwan tersebut pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang Jumaat.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 42 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Menurut saksi yang merupakan anak kepada mangsa, kejadian berlaku ketika mereka sedang mencuci bot di kawasan tersebut. Saksi memaklumkan ayahnya dibaham seekor buaya sebelum mangsa hilang dari pandangan.
Katanya lagi, operasi pencarian telah ditangguhkan pada jam 8.45 malam dan akan disambung keesokan harinya.
"Bagaimanapun, pada jam 4.45 pagi tadi, Komander Operasi dimaklumkan bahawa mangsa telah ditemui kira-kira 500 meter ke hilir sungai dari lokasi dia dibaham buaya.
"Keadaan anggota badan mangsa didapati masih sempurna, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
"Pasukan bomba bertindak membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa dan disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Katanya lagi, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Setelah memastikan semua tugas pasukan bomba selesai dan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi tadi," katanya.