KOTA BHARU – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi kekal memegang jawatan itu walaupun dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak melihat keperluan untuk membuat sebarang perubahan terhadap jawatan berkenaan.
Menurutnya, keputusan mengekalkan atau menggantikan Timbalan Speaker bukan terletak di bawah bidang kuasa Speaker, sebaliknya bergantung kepada kerajaan negeri.
“Setakat ini tidak ada keperluan untuk kami tukar Timbalan Speaker.
Pada Mei lalu, Mohamed Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas dipecat daripada Bersatu bersama beberapa pemimpin lain atas alasan melanggar disiplin parti sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Speaker DUN Kelantan.
Mohamed Farid seterusnya dilihat menghadiri Konvensyen Gerakan Reset Malaysia di Tanah Merah yang turut disertai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama beberapa pemimpin parti lain.
Mohd Amar berkata, sebarang keputusan berhubung kedudukan Timbalan Speaker hanya boleh dibuat oleh kerajaan negeri.
“Bukan kuasa Speaker untuk buat keputusan itu. Kalau kerajaan kata hendak tukar, barulah tindakan boleh diambil,” katanya.