REMBAU - Suasana hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Seri Rembau di sini pada Sabtu, bertambah meriah apabila penyokong Barisan Nasional (BN) membawa bendera parti bersaiz gergasi sebagai simbol sokongan kepada calon mereka.
Bendera gergasi berwarna biru yang dikibarkan menuju pusat penamaan calon itu menjadi tumpuan orang ramai dan memeriahkan lagi kehadiran ratusan penyokong BN daripada pelbagai kaum.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaik tiba kira-kira jam 8.40 pagi, Ahmad Zahid dilihat sempat memeluk Mohamad sebagai tanda sokongan dan memberi semangat sebelum calon memasuki pusat penamaan calon.
Turut hadir mengiringi rombongan BN ialah Datuk Jaffry Ariffin bersama barisan kepimpinan parti.
Setakat ini, pertandingan di DUN Paroi dan Kota menyaksikan saingan tiga penjuru, manakala DUN Rantau dan Chembong membabitkan pertandingan dua penjuru.