IPOH - Orang ramai diingatkan supaya tidak memberi makanan kepada monyet liar di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar bagi mengelak gangguan haiwan berkenaan terus berulang.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, tabiat memberi makanan menyebabkan monyet menjadi terbiasa menghampiri kawasan.
"Keadaan ini mengubah tingkah laku semula jadi monyet sehingga bergantung kepada makanan daripada manusia dan tidak lagi mencari makanan secara semula jadi.
"Dalam hal ini, kerjasama orang ramai amat penting kerana perubahan tingkah laku manusia merupakan antara langkah paling berkesan untuk mengurangkan konflik antara manusia dan monyet liar di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, gangguan monyet liar di R&R Sungai Perak arah utara menjejaskan keselesaan pengunjung serta operasi peniaga yang berdepan risiko kehilangan barangan dan ancaman keselamatan hampir setiap hari.
Keadaan itu memaksa satu operasi khas menangani monyet liar dijalankan diketuai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Selasa lalu.
Kok Lim berkata, Perhilitan telah menerima aduan berkaitan gangguan monyet di kawasan berkenaan secara berkala sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kebanyakan aduan melibatkan monyet yang menghampiri pengunjung, merampas makanan serta mengganggu pengguna yang sedang berehat.
“Walaupun gangguan yang berlaku tidak melibatkan kecederaan serius, situasi ini boleh mengundang risiko keselamatan sekiranya orang ramai terus memberi makanan atau cuba berinteraksi dengan haiwan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, Perhilitan akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan pengurusan termasuk cadangan pemasangan perangkap khas serta kawalan umpan bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar di kawasan tersebut.
"Pihak PLUS dan pengurusan R&R pula memainkan peranan dalam memastikan kebersihan kawasan, pengurusan sisa makanan serta penyelarasan operasi termasuk penutupan sementara lokasi jika perlu," katanya.