Legasi buku Chowrasta

Iklan
Nasir yang telah berkecimpung dalam perniagaan buku selama 36 tahun.

GEORGE TOWN – Di celah lorong tingkat atas Pasar Chowrasta, timbunan buku lama kekuningan dan majalah usang tersusun tinggi hingga hampir ke siling, seolah‑olah menyimpan kisah panjang dunia bacaan yang semakin berubah.

Suasana di deretan kedai buku terpakai itu mungkin tidak lagi semeriah dahulu. Namun, bagi peniaga yang masih setia meneruskan tradisi tersebut, setiap buku lama tersimpan mempunyai nilai tersendiri dan menjadi saksi perjalanan sebuah perniagaan semakin teruji dalam era digital.

Iklan
Iklan

Bagi Jimmy Ooi, 65, kedai kecil dipenuhi buku lama itu bukan sekadar tempat mencari rezeki tetapi warisan keluarga yang diteruskan daripada bapanya.

Menurut Jimmy, bapanya memulakan perniagaan pada 1990-an ketika buku menjadi antara sumber utama hiburan dan rujukan masyarakat.

Iklan

“Pada masa itu perniagaan sangat baik kerana orang ramai banyak bergantung kepada buku.

“Media digital belum berkembang seperti hari ini yang menggantikan peranan buku bercetak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Iklan

Aneka bahan bacaan pelbagai peringkat usia terdapat di sini.

Jimmy berkata, dia mengambil alih kedai berkenaan pada 2010 dan kini menjual pelbagai jenis bahan bacaan termasuk komik, ensiklopedia, majalah lama serta buku baharu.

Jelasnya, gerainya turut menerima buku lama daripada pelanggan yang ingin menjual koleksi mereka.

“Setiap buku perlu dinilai terlebih dahulu dari segi keadaan, nilai serta sama ada masih ada permintaan.

“Antara koleksi dianggap bernilai ialah majalah keluaran sekitar 1960-an serta set ensiklopedia tebal dijual melebihi RM200 setiap satu,” ujarnya.

Bercerita lanjut, kebanyakan pelanggan terdiri daripada penduduk tempatan dan pengumpul buku yang mencari judul tertentu.

“Ada pelanggan datang kerana sudah tahu buku ingin dicari, manakala ada juga sekadar melihat dahulu.

“Harga boleh dirunding dan ada buku sukar ditemui di tempat lain,” katanya.

Tidak jauh dari kedai milik Jimmy, seorang lagi peniaga buku terpakai, Sikkandar S Mohd Ismail, 62, turut berkongsi pengalaman sama mengenai perubahan ketara dalam permintaan pelanggan.

Dia berkata, sekitar 1990-an, buku rujukan seperti perakaunan dan perubatan sangat mendapat permintaan khususnya dalam kalangan penuntut universiti.

“Sekarang permintaan berkurangan kerana kebanyakan bahan rujukan boleh didapati secara dalam talian,” katanya.

Menurutnya, keadaan perniagaan kini tidak menentu dan hanya sedikit meningkat ketika musim cuti sekolah.

“Ada hari kami buka kedai daripada pagi sampai petang tetapi tiada satu pun buku terjual,” katanya.

Seorang pemilik kedai buku terpakai di Chowrasta memeriksa koleksi buku di premisnya yang terus menjadi destinasi pencinta buku sejak puluhan tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi peniaga buku lama, Nasir Ahmed Abdul Jabar, 60 berkata, perniagaan buku diusahakannya sejak lebih tiga dekad lalu turut mengalami perubahan ketara.

Dia yang berkecimpung dalam perniagaan buku selama 36 tahun mengakui koleksi buku dimilikinya masih mendapat perhatian sekumpulan kecil peminat buku tegar.

Simpan rekod pelanggan tetap

Nasir berkata, dia menyimpan rekod pelanggan tetap yang akan dihubungi sekiranya terdapat buku jarang ditemui atau bernilai tinggi.

“Biasanya buku lebih 'rare' dan bernilai tinggi ialah dokumentari serta jurnal sejarah yang boleh dijual lebih RM100 sehingga RM200 sebuah.

“Apabila ada buku seperti ini, saya akan hubungi pelanggan tetap dan jika mereka berminat, saya akan menghantarnya kepada mereka,” katanya.

Pelbagai aneka genre buku terdapat di sini.

Walaupun kaedah tersebut tidak dianggap sepenuhnya sebagai e-dagang, Nasir berkata, komunikasi secara langsung dengan pelanggan membantunya mengekalkan hubungan baik dengan pembeli setia.

Dia turut mengimbas kembali amalan pertukaran dan sewaan buku yang suatu ketika dahulu sangat popular dalam kalangan pelanggan terutama komik.

“Sekitar 20 tahun lalu pelanggan boleh menyewa buku dengan bayaran kecil. Contohnya, mereka membayar RM3 untuk sebuah buku dan mendapat semula RM2 apabila memulangkannya,” katanya.

Namun katanya, keadaan itu kini berubah apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan.

“Sekarang untuk buku dengan nilai yang sama, saya hanya mampu pulangkan kira-kira RM1 kerana sukar mendapat pelanggan seperti dahulu,” katanya.

Menurut Nasir, kebanyakan pelanggan kini lebih memilih untuk membeli buku secara terus berbanding menyewanya.