TURIN - Ancaman pertumbuhan alga di Sungai Po di Turin semakin serius apabila gelombang haba di barat laut Itali ditambah air buangan dari kawasan pertanian mencetuskan pembiakan tumbuhan air yang tidak terkawal.
"Kalau anda memasukkan pendayung ke dalam air, ia akan terus tersangkut pada tumbuhan ini dan sukar ditarik keluar," kata jurulatih mendayung, Roberto Romanini ketika empat pendayung bergelut meredah hamparan alga hijau yang tebal.
Bandar yang pesat membangun dan terletak di antara banjaran Alps itu berdepan suhu tidak normal pada musim panas kali ini.
Pada masa sama, aliran sungai terpanjang di Itali itu telah menurun dengan ketara iaitu kira-kira 50 peratus daripada purata tahunan berikutan taburan hujan yang rendah dan suhu tinggi berterusan sepanjang Jun dan Julai. Tetapi, puluhan spesies tumbuhan telah berkembang dengan subur sejak Mei lalu.
"Ia kelihatan seperti sebuah padang rumput yang menjadi petanda sungai dan iklim sedang berubah," kata Romanini, 60, yang tidak pernah melihat keadaan seperti itu.
Di empangan yang mengawal paras air sungai sejak abad ke-19, lapisan alga yang tebal spesies Spirogyra, Cladophora dan Blitum nuttallianum itu turut memerangkap pelbagai sisa sampah.
"Alga sememangnya sudah lama wujud di Po, namun perubahan iklim menjadikan fenomena ini lebih ekstrem.
"Ia telah berubah menjadi tasik yang panas dengan suhu mencecah 28 darjah Celsius walaupun sumber alirannya berasal dari Banjaran Alps yang terletak berhampiran," kata Timbalan Datuk Bandar Turin, Francesco Tresso yang menyifatkan pertumbuhan alga pada tahun ini sebagai 'amat luar biasa'.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan alam Sekitar Legambiente, Alice de Marco memberitahu pertumbuhan alga itu didorong oleh lebihan nutrien daripada sektor pertanian.
Menurutnya, kaedah paling berkesan adalah dengan mengehadkan atau menghapuskan penggunaan racun perosak.
Difahamkan, jisim tumbuhan tersebut memberi kesan kepada rantaian makanan kerana mengurangkan kandungan oksigen di dalam air, sekali gus menjejaskan hidupan akuatik lain.
Masalah sama turut berlaku di Tasik Iseo di wilayah Lombardy selain muncul di kawasan lain seperti terusan di Perancis dan Sungai Ebro di Zaragoza, Sepanyol.
Turin mahu menjadikan Po sebagai salah satu tarikan utama bandar itu. Dua perkhidmatan bot ulang-alik dijadualkan beroperasi semula pada 2027 dan pihak majlis bandar raya juga telah menaik taraf sebuah taman besar di tepi sungai.
Namun, mereka perlu membersihkan tumbuhan hijau tersebut yang mencacatkan pemandangan. Lebih 150 tan alga telah dibuang dalam tempoh tiga minggu dengan kos kira-kira 100,000 euro (RM467,000).
Pengarah Agensi Perlindungan Alam Sekitar Piedmont, Secondo Barbero menegaskan alga itu perlu dibendung dengan kaedah yang betul.
"Ia sepatutnya dicabut hingga ke akar. Jika dipotong, bahagian yang terputus boleh menghasilkan tumbuhan baharu dan mencemarkan tebing sungai di kawasan hilir," jelasnya.
Pertumbuhan alga itu dijangka menjadi lebih perlahan apabila suhu menurun pada musim luruh, namun pihak bandar perlu bersedia menghadapi satu lagi gelombang pertumbuhan baharu pada musim bunga.
Buat masa ini, penduduk tempatan terpaksa belajar untuk hidup dengan organisma akuatik tersebut.