M K Land Holdings Berhad (M K Land) mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah yang menitikberatkan pembangunan mampan apabila menerima Anugerah Pemerkasaan Komuniti & Pemeliharaan Alam Sekitar pada Sustainability & CSR Malaysia Awards 2026.
Pengiktirafan di bawah kategori Company of the Year (Property Developer) berkenaan diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen syarikat dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain mengintegrasikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.
Anugerah tersebut diterima Ketua Pegawai Operasi M K Land, Nazri Tumin, pada majlis penyampaian Sustainability & CSR Malaysia Awards 2026, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Ketua Kumpulan Komunikasi Strategik & Kelestarian M K Land, Shahreen Rahim berkata, anugerah berkenaan membuktikan keyakinan M K Land bahawa pembangunan lestari bukan sekadar memenuhi matlamat perniagaan, tetapi juga mewujudkan nilai yang berkekalan kepada masyarakat, komuniti dan alam sekitar.
"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini yang mencerminkan komitmen kami dalam mengintegrasikan prinsip kelestarian ke dalam setiap aspek operasi syarikat.
"Di M K Land, kami percaya pembangunan yang bertanggungjawab bukan sekadar membina rumah dan perbandaran, tetapi turut mewujudkan nilai yang bermakna kepada masyarakat sambil memelihara alam sekitar melalui tadbir urus yang bertanggungjawab serta kerjasama strategik.
"Melalui pendekatan ini, kami berhasrat membina komuniti yang mampan,
memperkasa warga kerja dan memastikan manfaat yang diwujudkan hari ini terus dinikmati oleh generasi akan datang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Shahreen menjelaskan, agenda kelestarian M K Land didorong berasaskan matlamat yang jelas, bukannya sekadar pelaksanaan program semata-mata.
Katanya, setiap inisiatif yang dilaksanakan menyumbang kepada aspirasi M K Land untuk membangunkan komuniti yang lestari.
"Sama ada melalui program kemasyarakatan, inisiatif kesejahteraan pekerja mahupun kerjasama pemuliharaan alam sekitar, pendekatan kami sentiasa berteraskan impak yang bermakna. Anugerah ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kerja, rakan strategik, agensi kerajaan dan komuniti yang bersama-sama menyokong perjalanan kelestarian kami.
"Seiring dengan pertumbuhan syarikat, kami akan terus memperkukuh agenda ESG dan mencipta nilai jangka panjang yang melangkaui pembangunan fizikal yang kami bangunkan," katanya.
Antara inisiatif utama M K Land dalam memperkasa komuniti ialah menerusi Siri Jelajah Ramadan yang menyantuni golongan memerlukan di kawasan perbandaran kendaliannya melalui bantuan asas serta usaha memupuk nilai keterangkuman dan kebersamaan.
Selain itu, syarikat turut memberi perhatian terhadap kebajikan warga kerja menerusi pelbagai program termasuk saringan kesihatan percuma, Fruit Bar Day bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta tajaan ibadah umrah kepada pekerja yang layak.
Komitmen sosial itu turut diteruskan menerusi sumbangan keperluan asas kepada 11 organisasi dan individu sekitar Taiping serta Kerian, melibatkan bantuan seperti katil hospital, peralatan mobiliti, kelengkapan pendidikan dan keperluan harian.
Dalam aspek alam sekitar pula, M K Land melaksanakan beberapa program pemuliharaan bersama agensi kerajaan dan rakan komuniti termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Jabatan Perikanan Negeri Perak.
Antara usaha tersebut ialah M K Land Green Walk Programme di Damansara Perdana dan Langkawi yang melibatkan warga kerja, pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat dalam usaha menjaga kebersihan kawasan awam dan menggalakkan pengurusan sisa lebih bertanggungjawab.
Syarikat itu turut bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Perak menerusi pelepasan benih ikan Lampam Sungai ke Tasik Bukit Merah bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti serta kelestarian ekosistem air tawar.
Selepas hampir tiga dekad dalam industri pembangunan hartanah, M K Land menegaskan bahawa kejayaan sesebuah pembangunan bukan sahaja dinilai melalui struktur fizikal yang dibina, tetapi turut berdasarkan kekuatan komuniti serta legasi positif yang ditinggalkan.