Lebih 10.4 juta rakyat nikmati manfaat program YAPEIM

Iklan
ZABIDI

ZABIDI

PUTRAJAYA – Lebih 10.4 juta rakyat menerima manfaat daripada pelbagai program Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sejak 42 tahun lalu, membabitkan agihan keseluruhan berjumlah RM762 juta kepada golongan memerlukan di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarahnya, Zabidi Nasan berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan YAPEIM dalam memperkasa masyarakat menerusi tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.

Menurutnya, walaupun YAPEIM ditubuhkan pada 1976, yayasan itu hanya mula beroperasi secara aktif pada 1984 selepas diberikan mandat untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan ummah.

Iklan

"Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, YAPEIM sudah mengagihkan kira-kira RM762 juta kepada lebih kurang 10.4 juta penerima manfaat menerusi pelbagai program yang kita laksanakan," katanya dalam temu bual khas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-42 YAPEIM di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Memasuki usia 42 tahun, YAPEIM kini memberi tumpuan untuk memperkukuh lagi peranannya sebagai institusi yang bukan sekadar menyalurkan bantuan, malah membina keupayaan masyarakat supaya mampu berdikari dan meningkatkan taraf hidup.

Iklan

Bagi Zabidi, ukuran kejayaan bukan lagi hanya berdasarkan jumlah bantuan yang disalurkan, sebaliknya sejauh mana setiap program benar-benar mengubah kehidupan penerima.

Justeru, pembangunan usahawan terus menjadi antara agenda utama YAPEIM bagi melahirkan lebih ramai individu yang mampu menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan secara berterusan.

"Apabila kita bantu mereka menjadi usahawan, kita harap mereka dapat berdiri atas kaki sendiri.

"Kita berada pada zaman inovasi dan kecerdasan buatan (AI). Peluang terbuka kepada semua orang untuk berjaya, jadi kita mahu bantuan yang diberikan benar-benar memberi impak," jelas Zabidi.

Usaha itu digerakkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk YAPEIM Usaha, yang bukan sahaja menyediakan geran dan modal perniagaan, malah menawarkan latihan serta bimbingan kepada usahawan mikro sehingga mereka bersedia mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Dalam bidang pendidikan pula, YAPEIM terus memperkukuh program YAPEIM Didik dan YAPEIM Ilmu bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati lebih ramai pelajar.

Dalam aspek kemasyarakatan, YAPEIM meneruskan pelbagai program di bawah YAPEIM Prihatin, termasuk pembinaan dan baik pulih lebih 300 rumah, bantuan bakul makanan, bantuan musibah serta Program Pembangunan Komuniti yang dilaksanakan di kawasan terpilih.

Pendekatan holistik itu, tegas beliau, bukan sahaja memenuhi keperluan asas penerima, malah membantu membina komuniti yang lebih berdaya tahan melalui gabungan pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.

Bagi memastikan pengurusan dana terus diyakini masyarakat, YAPEIM kini melaksanakan transformasi pendigitalan merangkumi sistem kutipan, agihan dan pelaporan bagi meningkatkan ketelusan serta memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bantuan.

“YAPEIM mengisytiharkan 2026 sebagai Tahun Infak YAPEIM dengan sasaran kutipan RM70 juta.

"Kalau sasaran RM70 juta itu tercapai, banyak program dapat kita laksanakan untuk membantu masyarakat.YAPEIM tetap optimis dan berusaha agar sasaran ini dapat dicapai dan direalisasikan agar lebih banyak program dapat dilaksanakan dan dana diagihkan kepada penerima manfaat,“ ujarnya.

Beliau berharap orang ramai terus menjadikan YAPEIM sebagai platform infak yang diyakini agar lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk membantu pelajar, usahawan dan keluarga yang memerlukan.