KONTINJEN Perak menyasarkan kutipan keseluruhan 160 pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor yang dijadulkan pada 15 hingga 24 Ogos depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan penyertaan dalam 37 acara sukan serta kekuatan beberapa sukan tradisi negeri.
Menurutnya, antara sukan yang menjadi sandaran utama untuk menyumbang pingat ialah sukan kombat dan berprestasi tinggi seperti silambam, wushu dan taekwondo.
“Ini semua adalah sukan-sukan yang sebelum ini telah menyumbang pingat kepada Perak dan kita harapkan ia terus menjadi penyumbang terutama bagi emas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kontinjen Sukma Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Ketua Kontinjen Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Jun lalu, media melaporkan, Perak meletakkan sasaran awal sekurang-kurangnya 50 pingat emas dan berada dalam kelompok lima terbaik dalam Sukma 2026.
Pada temasya Sukma 2024 yang berlangsung di Sarawak, kontinjen Perak mengumpul 129 pingat dengan 35 emas, 38 perak dan 56 gangsa, sekali gus menduduki tempat ketujuh daripada 15 negeri yang bertanding.
Mengulas lanjut, Khairudin berkata, sasaran lebih tinggi kali ini dibuat mengambil kira rekod pencapaian lalu termasuk 49 emas pada Sukma 2002.
Katanya, keyakinan itu disokong persediaan atlet yang telah bermula lebih awal sejak tahun lalu melibatkan proses pemilihan, latihan berpusat dan pendedahan pertandingan.
"Persiapan kontinjen juga telah berada di peringkat akhir dengan fokus kepada aspek taktikal serta pengukuhan mental dan psikologi atlet.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pengurus, jurulatih dan atlet.Kita harap usaha mereka dapat diterjemahkan kepada kejayaan di Sukma Selangor nanti,” katanya.