78 etnik Rohingya diluluskan status pelarian bawah program DPP - KDN

Iklan
KDN menjelaskan pemegang DPP yang sah boleh dipertimbangkan untuk akses kepada bantuan dan perkhidmatan sosial seperti pekerjaan, kesihatan dan pendidikan secara bersyarat, terkawal dan di bawah seliaan kerajaan. - Gambar/ KDN

KUALA LUMPUR - Sebanyak 78 warga asing telah diluluskan status pelarian mereka di bawah program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) setakat Jun lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan, kumpulan itu sebahagian daripada 128 tahanan warganegara Myanmar (etnik Rohingya) yang dipindahkan ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak untuk proses penentuan status.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian, program DPP yang bermula pada 1 Januari 2026 bertujuan menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, tapisan keselamatan, serta proses penentuan dan pengesahan status migran yang memohon perlindungan sementara di negara ini.

"Fasa pertama program ini memberi tumpuan kepada tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di seluruh Semenanjung Malaysia dengan jumlah keseluruhan 4,010 orang telah didatakan.

Iklan

"Jumlah itu merangkumi 4,008 warganegara Myanmar serta masing-masing seorang warganegara Sudan dan Syria," katanya bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) mengenai status pelaksanaan DPP dan perlindungan hak asasi pencari suaka.

KDN memaklumkan Fasa 2 Program DPP melibatkan pendaftaran pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan yang mengaku sebagai pelarian di luar DTI dirancang bermula pada separuh kedua tahun 2026.

Iklan

"KDN menyasarkan proses pendaftaran ke atas golongan ini diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029," menurut kementerian.

KDN menjelaskan pemegang DPP yang sah boleh dipertimbangkan untuk akses kepada bantuan dan perkhidmatan sosial seperti pekerjaan, kesihatan dan pendidikan secara bersyarat, terkawal dan di bawah seliaan kerajaan melalui kementerian serta agensi berkaitan.

"Pemegang DPP tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan Malaysia. Sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan sewajarnya, termasuk pembatalan Pas Khas dan pengusiran dari Malaysia," menurut KDN.

Mengulas mengenai aspek hak asasi, KDN menegaskan walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951, kerajaan kekal komited mengambil pendekatan berasaskan prinsip kemanusiaan bagi membantu golongan itu menjalani kehidupan yang teratur. - Bernama