KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Nepturis Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa syarikatnya telah memberi RM1 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mohd Rizman Akum Khan berkata, penyerahan wang menerusi cek dibuat selepas menerima arahan daripada ahli perniagaan, Lian Tian Chuan yang juga bekas pemilik syarikat itu.
Saksi pendakwaan ke-16 (SP16) itu memberikan keterangan dalam perbicaraan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta yang dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semasa menjawab soalan peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, Mohd Rizman memberitahu, tidak mengetahui tujuan wang berkenaan diberikan kepada parti politik tersebut.
Peguam: Merujuk kepada pernyataan saksi, Nepturis membuat pembayaran itu kepada Bersatu, saya cadangkan, duit itu bukan rasuah.
Mohd Rizman: Saya tak pasti, hanya Tian Chuan boleh menjawab.
Peguam: Anda tak pasti? Sebelum buat pembayaran, anda tidak membuat kepastian terlebih dahulu?
Mohd Rizman: Saya hanya bertindak atas arahan Tian Chuan.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pengarah berusia 43 tahun itu menjelaskan, hanya Tian Chuan boleh menjelaskan pemberian berkenaan merupakan sumbangan atau imbuhan untuk membalas budi.
Dalam prosiding lalu, Mohd Rizman mengesahkan, syarikat berkenaan menerusi seorang lagi pengarahnya, Aliza Abd Malek, 47, telah menulis surat minat bagi projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor berjumlah RM141 juta kepada Muhyiddin.
Surat itu katanya, untuk memohon untuk melaksanakan projek secara prakelayakan bertarikh 1 Februari 2021.
Beberapa bulan kemudian, beliau berkata, Aliza memberitahu Nepturis telah melepasi penilaian prakelayakan seterusnya Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tersebut pada awal 2022.
Pada 16 Februari 2022 pula, saksi itu berkata, Tian Chuan mengarahkannya supaya menyediakan cek milik Nepturis kepada Bersatu.
Semasa pemeriksaan semula oleh Wan Shaharuddin, saksi ditanya mengenai perbezaan antara ‘donation’ dengan imbuhan.
Berdasarkan pemahaman, Mohd Rizman menjelaskan, ‘donation’ merujuk kepada pemberian derma, manakala imbuhan pula lebih kepada balasan terhadap sesuatu pertolongan atau tanda membalas budi.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada kemasukan RM1 juta kepada Bersatu itu merupakan sumbangan atau imbuhan, beliau mengulangi pendirian bahawa hanya Tian Chuan mampu memberikan jawapan berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Rizman berkata, nama Tian Chuan tidak disenaraikan sebagai pemegang saham Nepturis dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), meskipun individu berkenaan sebenarnya memiliki 30 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin yang mendengar kes tersebut kemudian meminta penjelasan faktor utama nama Tian Chuan tidak didaftarkan sebagai pemegang saham syarikat.
Menjawab pertanyaan itu, Mohd Rizman berkata, rekod SSM menunjukkan beliau dan seorang lagi pemegang saham, Aliza masing-masing memiliki 50 peratus pegangan saham.
Bagaimanapun, katanya, pemilikan sebenar menunjukkan Tian Chuan memiliki 30 peratus, manakala beliau dan Aliza masing-masing memegang 35 peratus saham.
Menurutnya, pengaturan itu bukan satu kesalahan, sebaliknya merupakan strategi perniagaan bagi membolehkan syarikat berstatus bumiputera mendapatkan projek-projek kerajaan.
"Walaupun Tian Chuan mempunyai pegangan sebanyak 30 peratus, status syarikat sebagai syarikat bumiputera tidak terjejas kerana baki 70 peratus saham masih dimiliki oleh kami," katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh berusia 79 tahun itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan bersambung 27 Julai.