SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan kerajaan menggubal Dasar Keselamatan Ekosistem Inovasi Nasional bagi memastikan keterbukaan Malaysia terhadap pelaburan, bakat dan inovasi global tidak menjejaskan kedaulatan serta keselamatan negara.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dasar berkenaan perlu menetapkan piawaian lebih jelas berkaitan saringan keselamatan, pengesahan identiti, tadbir urus serta pemantauan terhadap komuniti antarabangsa, hab teknologi dan platform inovasi yang melibatkan penyertaan warga asing.
Menurutnya, keterbukaan kepada dunia merupakan satu kekuatan Malaysia, namun hendaklah sentiasa disertai dengan amanah, kewaspadaan dan tanggungjawab.
"Ia bagi memastikan manfaat pembangunan tidak mengorbankan keselamatan negara.
"Pendekatan inilah yang akan membolehkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang diyakini oleh pelabur, dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan pada masa yang sama teguh mempertahankan kedaulatan serta kepentingan nasional," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan negeri Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan terhadap operasi Network School di Forest City yang didakwa disertai warga Israel menggunakan pasport kedua untuk memasuki Malaysia.
Dakwaan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat susulan pendirian Malaysia yang tidak membenarkan kehadiran warga Israel di negara ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, ABIM menyambut baik pendirian tegas kerajaan bahawa Malaysia tidak membenarkan kehadiran warga Israel di negara ini dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan dakwaan tersebut.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan dasar luar Malaysia yang konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin serta tidak mengiktiraf rejim zionis Israel.
"ABIM turut menyokong usaha KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional.
"Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan kemudahan imigresen, penyembunyian identiti, pemberian maklumat palsu atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa kompromi," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan dan mengelakkan sebarang spekulasi sehingga keputusan rasmi diumumkan.