Isu eFishery: Pempengaruh ajak rakyat tuntut ketelusan, pemulihan aset

Iklan
Hantaran Zhiddin di media sosial mengenai pelaburan KWAP dalam eFishery.

SHAH ALAM – Isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, yang didakwa melibatkan penipuan terancang sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM200 juta terus menjadi perhatian.

Terbaharu, pempengaruh dan pengacara, Zhiddin Aziz yang turut tampil memberi pandangan berkata, rakyat berhak mendesak supaya semua saluran perundangan serta usaha pemulihan aset diteruskan memandangkan dana yang terlibat merupakan wang persaraan penjawat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes berkenaan mendapat liputan meluas di negara jiran itu, namun tidak menerima perhatian sama di Malaysia.

“Kenapa isu ini tidak viral? Adakah kerana perhatian ramai tertumpu kepada perkembangan politik sehingga terlepas pandang satu isu yang sepatutnya diperjuangkan iaitu melibatkan dana persaraan penjawat awam Malaysia yang didakwa mengalami kerugian akibat penipuan sebuah syarikat dari negara jiran?

Iklan

"Kes ni memang sudah viral di negara jiran sampai CEO syarikat mereka telah dipenjara didenda 1 bilion duit mereka (rupiah). Kalau kita tukar ke ringgit, baru RM200,000. Sedangkan KWAP rugi sebanyak RM200 juta," katanya menerusi satu hantaran video di media sosial pada Jumaat.

Zhiddin berkata, KWAP bukan satu-satunya pelabur yang terkesan kerana beberapa pelabur antarabangsa turut dilaporkan mengalami kerugian antaranya Aqua-Spark dari Belanda, Temasek dari Singapura, SoftBank dari Jepun serta G42 dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iklan

“Jangan hanya menuding jari kepada KWAP kerana beberapa syarikat pelaburan bertaraf antarabangsa juga dikatakan menjadi mangsa. Faktor itu menyebabkan syarikat tersebut berjaya mencapai status unicorn (syarikat pemula) sebelum dakwaan penipuan ini terbongkar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan agensi berkaitan memastikan segala tindakan undang-undang serta usaha mendapatkan semula aset diteruskan demi melindungi kepentingan pencarum.

“Ini wang persaraan penjawat awam Malaysia. Justeru, rakyat berhak mendesak agar semua tindakan undang-undang dan usaha pemulihan aset terus digerakkan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan, keputusan pelaburan eFishery dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Beliau dalam masa sama berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan membabitkan nilai AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat berkenaan pada Julai 2023.

Susulan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilapor akan meneliti keperluan mengadakan prosiding berhubung isu tersebut.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu bagaimanapun belum termasuk dalam perancangan prosiding PAC ketika ini kerana jawatankuasa berkenaan masih memberi tumpuan kepada beberapa prosiding yang sedang berjalan dan menunggu untuk diselesaikan.