PUTRAJAYA - Kerajaan tidak campur tangan dalam urusan pelantikan pengurusan syarikat yang mengendalikan pelabuhan termasuk membabitkan warga asing, selagi pemilikan majoriti syarikat berkenaan kekal di tangan rakyat Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan hanya mengawal selia aspek pegangan saham bagi syarikat yang mengendalikan konsesi serta aset strategik negara seperti pelabuhan.
Menurutnya, dasar kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham syarikat berkenaan mesti dimiliki rakyat Malaysia.
"Untuk kerajaan kita hanya kawal selia dari segi pegangan saham. Pegangan saham itu mesti bagi syarikat yang mengendalikan konsesi dan aset strategik negara termasuk pelabuhan, majoritinya dimiliki rakyat Malaysia iaitu 51 peratus. Itu dasar kita," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media antarabangsa berhubung pelantikan bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DP World, Sultan Ahmed Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Port.
Menurut laporan itu, memo dalaman bertarikh 12 Julai memaklumkan semua perkara yang sebelum ini dirujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, kini akan disalurkan terus kepada pejabat tokoh pelabuhan Dubai itu.
Mengulas perkara itu, Anthony menjelaskan pelantikan pengurusan syarikat merupakan keputusan dalaman syarikat dan tidak memerlukan kelulusan kerajaan.
"Daripada segi pengurusan, biasanya kerajaan tidak mencampuri urusan pengurusan syarikat. Sebagai contoh, terdapat pelabuhan yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) warga asing seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
"Syarikat bebas memilih siapa yang dirasakan sesuai untuk menguruskan syarikat tersebut," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang perubahan pegangan saham syarikat perlu dimaklumkan kepada kerajaan, termasuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Mengulas dakwaan berlaku perubahan pemilikan saham MMC Port, Anthony berkata, setakat ini kementeriannya belum menerima sebarang notifikasi daripada syarikat atau pemegang konsesi.
"Setakat yang kita tahu, tidak. Kementerian belum menerima sebarang maklumat atau notifikasi daripada syarikat mahupun pemegang konsesi," katanya.