SEREMBAN - Parti Berjasa mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus dijangka menyaksikan saingan lebih sengit di kawasan berkenaan.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan meneliti perkembangan pengumuman calon oleh parti-parti yang bertanding.
Menurutnya, kajian yang dijalankan mendapati antara faktor menyumbang kepada kadar keluar mengundi rendah dalam kalangan pengundi Melayu ialah ketiadaan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
"Atas prinsip untuk menyuburkan demokrasi dan memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam mendapatkan calon Muslim yang berwibawa, Berjasa memutuskan untuk bertanding di kerusi N.10 Nilai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zamani berkata, Nilai dipilih kerana kawasan itu dilihat sebagai titik permulaan yang sesuai untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
Katanya, senario yang menyaksikan semua calon diumumkan sebelum ini bukan daripada kaum Melayu di Nilai turut menjadi antara pertimbangan utama parti itu membuat keputusan tersebut.
Bagaimanapun beliau menegaskan, Berjasa kekal komited terhadap agenda penyatuan Melayu dan tidak akan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu yang sudah mempunyai calon Melayu daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Wawasan.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengelakkan pertembungan sesama calon Melayu di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan mempertaruhkan penyandang kerusi tersebut, manakala Perikatan Nasional (PN) turut mengesahkan penyertaannya.
Pengumuman Berjasa itu dijangka mewujudkan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru di DUN Nilai, tertakluk kepada pengesahan calon pada hari penamaan calon.
Pada Pilihan Raya Negeri 2023, kerusi DUN Nilai dimenangi calon PH daripada DAP, J Arul Kumar dengan majoriti 10,889 dalam saingan empat penjuru apabila mendapat undian sebanyak 19,133.
Lawannya, Gan Chee Biow (PN-Bersatu) mendapat 8,244 diikuti dua calon bebas, Omar Mohd Isa (1,430 undi) dan S Yessu (57 undi).