Wanita maut dililit ular sawa enam meter ketika pulang dari kebun

Iklan
Ular sawa itu kemudiannya dibunuh oleh keluarga mangsa. Foto: Detik.com.

JAKARTA – Seorang wanita maut selepas diserang seekor ular sawa sepanjang kira-kira enam meter yang kemudian mula menelan sebahagian tubuhnya ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari kebun di Kabupaten Muna Barat, Sulawesi Tenggara, Indonesia.

Mangsa, Waode Hartia, 48, dipercayai berjalan kaki membawa hasil tanaman berupa pisang dan labu di atas kepalanya selepas meninggalkan kebun lebih awal daripada suami dan anaknya pada petang Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kusambi, Inspektor Rusman berkata, kejadian berlaku di kawasan hutan Desa Umba, Kecamatan Napano Kusambi, kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa.

Menurutnya, suami dan anak mangsa kemudian menyusul dengan menaiki motosikal sebelum menemui wanita itu terbaring di tepi jalan kira-kira 300 meter dari kebun.

Iklan

"Ketika ditemukan, lengan kanan mangsa masih dililit ular sawa berkenaan manakala reptilia itu sedang menelan sebahagian tubuh mangsa.

"Suami dan anak mangsa kemudian membunuh ular itu menggunakan parang sebelum membawa mangsa pulang. Bagaimanapun, mangsa dipercayai telah meninggal dunia ketika ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kesan gigitan pada kaki kanan serta kecederaan pada bahagian dahi kiri.

Polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan.

Rusman berkata, keluarga mangsa menerima kejadian itu sebagai satu musibah dan tidak membangkitkan sebarang bantahan kerana percaya kematian Waode Hartia berpunca daripada serangan ular sawa tersebut. - Agensi