Di tengah-tengah kesibukan ibu kota yang sentiasa bergerak pantas, masih berdiri deretan bangunan bersejarah yang menjadi saksi perjalanan negara.
Ada yang pernah menyaksikan laungan kemerdekaan, menjadi nadi pengangkutan negara dan tempat pertemuan masyarakat pelbagai budaya selama lebih satu abad.
Namun bagi ramai warga kota hari ini, warisan tersebut sering dianggap sekadar latar belakang kepada pembangunan moden.
Melalui inisiatif Warisan KL, persepsi itu sedang diubah. Warisan KL bukan sekadar program pemuliharaan bangunan bersejarah, ia merupakan usaha menyeluruh untuk menghidupkan semula kawasan warisan Kuala Lumpur supaya menjadi ruang yang lebih inklusif, mudah diakses dan relevan kepada kehidupan rakyat hari ini.
Diterajui melalui kerjasama antara kerajaan, syarikat berkaitan pelaburan kerajaan, pemilik aset, sektor swasta dan komuniti setempat, inisiatif ini memberi nafas baharu kepada kawasan-kawasan ikonik yang membentuk identiti ibu negara.
Lebih penting, Warisan KL membuktikan bahawa pemuliharaan warisan dan pembangunan ekonomi boleh bergerak seiring bagi mewujudkan sebuah bandar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Kebanyakan bandar besar di dunia, ruang awam berfungsi sebagai tempat masyarakat bertemu, berinteraksi dan membina hubungan sosial.
Konsep inilah yang menjadi asas kepada pendekatan Warisan KL. Melalui pembangunan ruang awam berkualiti, laluan pejalan kaki yang lebih mesra pengguna, aktiviti budaya dan pemuliharaan bangunan bersejarah, kawasan warisan di pusat bandar dihidupkan semula sebagai ‘ruang ketiga’ iaitu tempat yang menghubungkan komuniti di luar rumah dan tempat kerja.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman bandar, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada peniaga tempatan, pengusaha kecil, artis dan komuniti kreatif.
Apa yang suatu ketika dahulu dianggap kawasan yang sunyi selepas waktu pejabat kini berubah menjadi destinasi yang menarik kehadiran pelawat, keluarga, pelajar dan pelancong.
Presint Merdeka 118: Pertemuan warisan dan masa depan
Salah satu contoh paling ketara ialah transformasi Presint Merdeka 118, sebuah kawasan yang menggabungkan warisan negara dengan pembangunan bandar bertaraf dunia.
Di sinilah terletaknya Stadium Merdeka, lokasi bersejarah di mana pengisytiharan kemerdekaan negara dilakukan pada tahun 1957.
Hari ini, kawasan sekitar stadium bukan sekadar monumen sejarah, malah menjadi ruang komuniti yang aktif dengan pelbagai aktiviti rekreasi dan gaya hidup.
Laluan pejalan kaki yang lebih selesa serta ruang terbuka yang mesra komuniti menjadikan kawasan ini destinasi pilihan bagi penggemar aktiviti riadah, pelari dan keluarga yang ingin menikmati suasana bandar yang lebih santai.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, visi pembangunan presint tersebut adalah untuk mewujudkan sebuah destinasi global yang menghubungkan sejarah dengan kehidupan bandar moden.
“Visi kami adalah untuk menjadikan presint ini sebagai tempat di mana orang ramai mahu berkumpul, berhubung dan menghargai kekayaan sejarah budaya yang dimiliki oleh kota ini melalui gabungan komersial dan hospitaliti dengan ruang awam serta ruang berorientasikan komuniti,” katanya.
Presint Merdeka 118 memperlihatkan bagaimana warisan boleh menjadi aset hidup yang terus memberi nilai kepada masyarakat, bukan sekadar tinggalan masa lalu.
Stesen Keretapi Kuala Lumpur: Menghidupkan nadi ekonomi setempat
Tidak jauh dari situ, Stesen Keretapi Kuala Lumpur pula menjadi contoh bagaimana pemuliharaan warisan mampu merangsang aktiviti ekonomi setempat.
Bangunan ikonik berusia lebih satu abad yang terkenal dengan seni bina Moorish ini kini kembali menarik perhatian orang ramai.
Kawasan sekitarnya yang suatu ketika dahulu kurang dikunjungi selepas waktu pejabat kini semakin meriah dengan aktiviti kebudayaan, rekreasi dan perniagaan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Datuk Azhar Ahmad berkata, transformasi yang berlaku membuktikan bahawa bangunan bersejarah masih mempunyai peranan penting dalam kehidupan bandar masa kini.
“Stesen Keretapi Kuala Lumpur adalah salah satu bangunan paling ikonik di negara ini, tetapi untuk sekian lama ia hanya dilihat sebagai bangunan lama yang tidak relevan.
“Melalui kerjasama dengan Warisan KL, kami menghidupkan semula ruang-ruang di sekitarnya dengan peniaga kecil kembali berniaga, anak muda datang meluangkan masa dan pelancong mula singgah untuk menghayati seni bina yang mengagumkan,” katanya.
Menurut beliau, manfaat sebenar pemuliharaan warisan dapat dilihat melalui impaknya kepada masyarakat.
“Apa yang paling menggembirakan ialah apabila peniaga kecil di sekitar kawasan ini memberitahu bahawa perniagaan mereka bertambah baik. Ada yang mewarisi perniagaan keluarga sejak beberapa generasi dan kini menerima pelanggan baharu daripada golongan muda yang mula meneroka semula pusat bandar.
“Itulah kesan sebenar Warisan KL kerana ia bukan sekadar projek pembangunan, tetapi jambatan yang menghubungkan generasi,” katanya.
Masjid Jamek: Simbol warisan, perpaduan dan keterangkuman
Warisan KL turut memberi perhatian kepada institusi keagamaan yang membentuk identiti sejarah Kuala Lumpur.
Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, yang terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, kekal sebagai antara mercu tanda paling penting dalam sejarah bandar raya ini.
Dibina pada tahun 1909 dan direka oleh arkitek Arthur Benison Hubback, masjid ini merupakan antara masjid tertua di Kuala Lumpur serta pernah berfungsi sebagai masjid utama bandar raya sebelum pembinaan Masjid Negara pada tahun 1965.
Kedudukannya di lokasi pertemuan dua sungai yang menjadi titik awal perkembangan Kuala Lumpur menjadikan masjid ini sebahagian daripada naratif kelahiran dan perkembangan ibu negara.
Selain menjadi pusat ibadah, masjid ini turut berperanan sebagai ruang yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, mencerminkan keharmonian dan kepelbagaian yang telah menjadi asas pembentukan Kuala Lumpur sejak awal penubuhannya.
Ketua Eksekutif Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Hariz Jamil berkata, Masjid Jamek bukan sekadar warisan seni bina yang menghubungkan kita dengan sejarah Kuala Lumpur, tetapi juga ruang yang mempertemukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Apabila warisan dipelihara dan akses kepada kawasan ini dipertingkatkan, kita bukan sahaja menjaga bangunan bersejarah, malah memastikan ia terus hidup sebagai tempat pembelajaran, interaksi dan perpaduan yang dapat dinikmati oleh semua,” katanya.
Penambahbaikan fasad, landskap, kemudahan awam dan laluan pejalan kaki di sekitar kawasan tersebut menjadikan akses lebih mudah, selesa dan inklusif kepada jemaah serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Usaha ini mencerminkan pendekatan Warisan KL yang melihat warisan bukan sekadar aset zikal untuk dipelihara, tetapi juga sebagai ruang komuniti yang terus relevan, aktif dan menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih inklusif untuk generasi masa kini dan akan datang.
Warisan sebagai pemangkin pembangunan inklusif
Dalam banyak keadaan, pembangunan moden sering dilihat bertentangan dengan usaha pemuliharaan warisan.
Melalui pendekatan yang mengutamakan aksesibiliti, ruang awam berkualiti, penglibatan komuniti dan peluang ekonomi yang lebih luas, warisan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih inklusif dan mampan.
Inilah nilai sebenar Warisan KL.
Ia bukan sekadar memulihara bangunan lama, tetapi membina sebuah ibu kota yang lebih hidup, lebih berdaya tahan dan lebih dekat dengan rakyat.
Pada akhirnya, Kuala Lumpur bukan sekadar pusat perniagaan dan pentadbiran negara, ia adalah rumah bersama yang menyimpan memori, warisan dan identiti seluruh rakyat Malaysia.
REAKSI
“Pengalaman saya menjual kuih di BazRam Stadium Merdeka tidak ada tolak banding dengan cara-cara saya bekerja di tempat lain. Program Pembangunan Keusahawanan PNB bukan sahaja meberi platform berniaga tetapi berkongsi ilmu dengan peniaga kecil seperti saya.” - Peniaga Gerai Kak Comel, Rusliawati Borhan
“Acara seperti Festival Heritage Colours di Stesen Keretapi Kuala Lumpur membantu menarik dan menghidupkan ruang warisan serta memberi peluang jenama tempatan memperkenalkan seni tradisional batik kepada pelancong dan penduduk tempatan.” -Pengurus Runcit Karyaneka, Mohamad Haziq
“Pembukaan semula Stadium Merdeka dan usaha meremajakan Presint 118 di sekitarnya telah memberikan impak yang besar kepada SMK Victoria. Kami bukan sahaja berpeluang mengadakan Hari Sukan sekolah di stadium tersebut, malah PNBMV turut banyak menyumbang kembali kepada komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif, termasuk program gotong-royong.”-Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Samad Othman