PUTRAJAYA – Pengasas Network School, Balaji Srinivasan mengumumkan semua rancangan pelaburan baharu syarikatnya di Malaysia ditangguhkan sehingga mendapat jaminan susulan kontroversi yang tercetus selepas sebuah akaun media sosial tanpa nama menuduh syarikat itu melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas, Balaji menerusi hantaran di platform X berkata, beberapa rakan pelabur serta eksekutif syarikat teknologi antarabangsa yang dibawanya ke Forest City, Johor kini mengambil pendekatan sama dengan menangguhkan rancangan pelaburan masing-masing.
Menurutnya, keputusan itu dibuat sehingga pihaknya memperoleh jaminan bahawa insiden seumpama itu tidak akan berulang dan tidak lagi menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
"Sehari sebelum Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai, akaun media sosial tanpa nama (MP4P) memuat naik satu hantaran di Instagram yang secara palsu menuduh Network School melindungi pendatang asing tanpa izin.
"Tuduhan sensasi itu mencetuskan kekecohan di Malaysia sehingga pihak berkuasa hadir ke kampus kami pada 14 Julai untuk menjalankan siasatan," katanya.
Menurut beliau, selepas memeriksa ratusan pasport fizikal milik individu dari 40 negara, termasuk pemegang dwikewarganegaraan, pihak berkuasa mengesahkan kepada media pada 15 Julai bahawa semua dokumen perjalanan adalah sah.
"Sepanjang proses itu, kami memberikan kerjasama sepenuhnya. Anda boleh melihat gambar lelaki, wanita dan kanak-kanak di Network School tersenyum sambil memegang pasport masing-masing pada waktu siang. Wajah kami jelas dan identiti kami diketahui umum. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan," jelas Balaji.
Beliau berpandangan proses siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Malaysia itu sendiri telah memberi kesan kepada reputasi syarikat dan keyakinan pelabur, walaupun dakwaan berkenaan akhirnya tidak dibuktikan.
"Dalam keadaan seperti ini, proses itu sendiri sudah menjadi satu bentuk hukuman. Apa yang dilakukan MP4P sangat mirip dengan jenayah yang dikenali di Amerika Syarikat sebagai 'swatting', iaitu membuat laporan palsu mengenai ancaman serius sehingga memaksa polis membuang masa menyiasat sesuatu yang sebenarnya tidak wujud, sekali gus mengalihkan perhatian daripada tugas melindungi rakyat," katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan mengatakan wujud warga Israel yang menyertai program yang dikenali sebagai Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.
Ia sekali gus menarik perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengarahkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan bahawa warga Israel, yang dilarang memasuki Malaysia, menjadi sebahagian daripada komuniti Network School dan didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport kedua.
Susulan itu, Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara dan mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Dalam hantaran sama, Balaji memaklumkan Network School telah melaburkan lebih RM100 juta bagi membangunkan kampus mesra syarikat pemula di Forest City tanpa menerima sebarang dana daripada kerajaan Malaysia.
Menurutnya, pelaburan itu bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, malah membantu syarikat pemula Malaysia, menyokong perniagaan setempat serta menyumbang kepada usaha menghidupkan semula pembangunan Forest City.
"Hakikatnya, kami telah melaburkan lebih RM100 juta di Malaysia, mewujudkan pekerjaan kepada puluhan rakyat Malaysia dan identiti kami diketahui umum. Eksekutif serta kakitangan kami di Malaysia sepatutnya diberikan kepercayaan terlebih dahulu berbanding dakwaan daripada akaun media sosial tanpa nama," katanya.
Sehubungan itu, Balaji memohon satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kemungkinan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Network School dengan kerajaan Malaysia.
Jelasnya, memorandum berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak serta memulihkan keyakinan komuniti teknologi global terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
"Perinciannya boleh dibincangkan kemudian, namun kami akan secara terbuka berjanji untuk terus mematuhi semua undang-undang Malaysia seperti yang kami lakukan sekarang serta menghormati kedaulatan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah kami persoalkan.
"Sebagai balasan, kerajaan akan berpeluang mengenali komuniti kami dengan lebih dekat dan memahami bahawa kami memilih Malaysia kerana percaya negara ini merupakan tempat terbaik untuk membina hab teknologi yang menemukan jurutera dari negara-negara membangun, pelabur dari Barat dan usahawan tempatan Malaysia bagi membina inovasi serta menjana pertumbuhan ekonomi bernilai jutaan dolar pada masa hadapan.
"Kami tidak meminta sebarang dana. Apa yang kami mahukan hanyalah satu pertemuan bagi membantu memulihkan keyakinan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.
"Sebaliknya, jika Malaysia tidak lagi menginginkan pelaburan kami atau pelaburan rakan-rakan kami daripada dana berbilion dolar dan syarikat bertaraf trilion dolar, kami akan menghormati keputusan tersebut dan mengalihkan modal kami ke negara lain," katanya.