KOTA KINABALU – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak tiga hari lalu berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan telah mereput di kawasan semak di atas bukit Kampung Numbak, di sini, pada Rabu.
Lebih menyayat hati, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian Nurjilya Abdullah, 11, dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki berpunca daripada hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit pada jam 10.38 malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak perempuan hilang ditemukan mati dibunuh
Budak perempuan mati dibunuh: Polis tahan dua lelaki
Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.
"Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Bertindak atas maklumat serta hasil siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membolehkan siasatan diteruskan," katanya.
Syed Lot berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.