KOTA KINABALU – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mayatnya ditemukan di kawasan semak atas bukit Kampung Numbak di sini pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan polis.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak perempuan hilang ditemukan mati dibunuh
Beliau berkata, mayat Nurjilya Abdullah, 11, ditemukan berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit selepas polis menerima maklumat daripada orang awam pada jam 10.38 malam.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.
"Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu," katanya.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Syed Lot berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.