'Saya tak sanggup lihat jenazahnya'

Iklan
Mohd Faaiz (dua dari kiri) sebak ketika pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, Kluang.

KLUANG –  "Saya tak tahu macam mana kesakitan dialami bila melihat jenazahnya. Saya tak sanggup lihat keadaannya".

Demikian luahan Mohd Faaiz Muran, 35, selepas kehilangan anaknya, Muhammad Umar Mohd Faaiz, 7, yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang di sini pada petang Rabu.

Iklan
Iklan

Mohd Faaiz berkata, walaupun kehilangan anak sulungnya, dia dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi serta enggan meletakkan kesalahan kepada pemandu bas yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Saya tidak menyalahkan pemandu bas kerana apa yang berlaku adalah takdir," katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Umar di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang di sini pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Faaiz berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah menunjukkan perubahan sikap apabila tiba-tiba menjadi lebih manja dengannya.

Katanya, pada Isnin lalu, Muhammad Umar meminta didukung dan dipeluk sedangkan sebelum ini tidak pernah berkelakuan demikian.

Iklan

Muhammad Umar (gambar kecil) maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang pada petang Rabu.

"Dia juga minta macam-macam termasuk basikal. Dia janji nak belajar bersungguh-sungguh. Bila saya kenang kembali, saya terlalu sedih kerana mungkin itu petanda terakhir daripadanya," katanya.

Menurutnya, dia sempat menunaikan sebahagian besar permintaan anaknya itu dan sepatutnya pulang ke Kluang pada Jumaat untuk membawa Muhammad Umar serta adik perempuan kembarnya bersiar-siar.

"Saya sepatutnya balik esok. Saya sudah merancang mahu luangkan masa bersama mereka, tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Umar selamat dikebumikan pada jam 2.15 petang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila ibu arwah, Nurul Shahira Salim, 35, beberapa kali ditenangkan ahli keluarga ketika mengiringi pengebumian anak sulungnya itu.