KEMAMAN – Kehadiran seekor gajah liar yang dipercayai tersesat di sekitar Kijal dan Kemasik sejak pagi Selasa bukan sahaja menggemparkan penduduk setempat malah mencetuskan rasa cemas dalam kalangan pengguna jalan raya.
Kelibat mamalia itu dikesan berkeliaran dalam kawasan kampung dan di bahu jalan utama.
Seorang penunggang motosikal, Mohd Afiq Azri Abdul Rahman, 37, berkata, dia terkejut apabila terserempak dengan haiwan tersebut di tepi jalan utama berhampiran sebuah institut latihan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chukai, malam tadi.
"Pada mulanya saya ingatkan ada sekatan jalan raya (roadblock) sebab kenderaan di hadapan bergerak perlahan, tapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, semua kenderaan memperlahankan tumpuan kerana bimbang selepas terserempak dengan gajah itu.
"Hairan juga sebab apa ada gajah di kawasan ni sebab kawasan ni berhampiran pantai dan tidak pernah ada sejarah gajah di sini. Lagipun, ia berkeliaran di jalan utama, mungkin haiwan ini terpisah daripada kawanan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Chengal, Mohd Zaid Jambol memaklumkan, mamalia itu pada mulanya dikesan berkeliaran di belakang sebuah institut latihan dan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kijal, kira-kira jam 8 malam.
"Awal pagi tadi ada penduduk yang membuat aduan ternampak kelibat gajah tersebut di Kampung Gong Chengal. Kampung kami memang tak jauh dari kawasan gajah itu berkeliaran malam tadi.
"Situasi ni amat membimbangkan penduduk kampung kerana haiwan liar itu sudah mula memasuki kawasan kampung dan beberapa tanaman penduduk seperti kelapa, cempedak dan pisang turut dirosakkan serta dimakan gajah itu," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung mengesahkan pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kehadiran gajah liar berhampiran stesen JPJ Kijal seawal jam 7 pagi.
Menurutnya, gajah liar tersebut mungkin tersesat dari hutan simpan berhampiran, sama ada Hutan Simpan Bukit Palus atau Hutan Simpan Bukit Panjang yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
"Kami telah menemui kesan tapak kaki mamalia tersebut dan tindakan susulan termasuk mengadakan kawalan serta pemantauan rapi sedang giat dijalankan di kawasan terlibat.
"Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan paling penting, jangan melakukan sebarang provokasi terhadap haiwan berkenaan. Segera maklumkan kepada Perhilitan jika ternampak kelibatnya," katanya.