WAJAR, CiJA kesal pengamal media disekat buat liputan program PDRM

Iklan
WAJAR dan CiJA kesal dengan tindakan sekatan dan halangan terhadap pengamal media ketika liputan program anjuran PDRM pada Khamis. Foto hiasan

SHAH ALAM - Pertubuhan Jurugambar Wartawan Selangor (WAJAR) dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) kesal dengan tindakan sekatan dan halangan terhadap pengamal media ketika liputan program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini pada Khamis.

Program itu dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Iklan
Iklan

WAJAR dan CiJA dalam kenyataan bersama memaklumkan insiden itu sebagai langkah ke belakang yang mencabul kebebasan media dan menyukarkan tugas hakiki wartawan dan jurugambar dalam mendapatkan maklumat tepat, telus dan seimbang demi kepentingan awam.

Menurutnya, isu itu melibatkan sekatan terhadap jurugambar daripada merakam gambar acara dan diarah hanya menggunakan gambar rasmi sekali gus menafikan nilai eksklusiviti serta kebebasan sudut pandang kewartawanan.

Iklan

“Selain itu, tiada ruang sidang media atau sesi doorstop disediakan menyebabkan wartawan tiada peluang mendapatkan penjelasan lanjut atau mengemukakan soalan kepada pihak berkaitan,” katanya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, alasan bahawa sekatan itu adalah ‘arahan terus kepimpinan’ amat meragukan dan perlu penjelasan segera supaya nama baik kepimpinan tertinggi PDRM tidak disalahgunakan.

Iklan

"WAJAR dan CiJA sentiasa menyokong usaha PDRM dalam menjaga keselamatan negara serta menghargai hubungan baik yang terjalin selama ini.

"Namun, hubungan tersebut hendaklah diperkukuhkan atas dasar saling menghormati, profesionalisme dan keterbukaan, bukannya melalui sekatan yang menjejaskan kebebasan media," ujarnya.

Justeru, PDRM diminta tampil memberi penjelasan sama ada sekatan itu merupakan dasar rasmi atau tindakan individu.