DUA beregu lelaki negara mara ke suku akhir Terbuka Jepun selepas Aaron Tai-Kang Khai Xing dan beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menewaskan lawan masing-masing pada pusingan kedua di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini.
Aaron-Khai Xing terlebih dahulu mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-10, 21-15.
Di peringkat lapan terbaik esok, Aaron-Khai Xing berdepan cabaran lebih getir apabila berkemungkinan menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau wakil tuan rumah, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi bagi memburu slot ke separuh akhir.
Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan bekas gandingan nombor satu dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-19 dalam tempoh 40 minit.
Di suku akhir, Sze Fei-Nur Izzuddin akan menentang sama ada beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard atau pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, yang beraksi pada pusingan kedua hari ini. - Bernama