JAKARTA – Hampir dua tahun selepas mencetuskan kontroversi kerana menghina seorang penjual teh ais ketika berceramah pada penghujung 2024, nama pendakwah terkenal Indonesia, Gus Miftah, sekali lagi menjadi perhatian apabila disebut dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Bupati Pati, Sudewo.
Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia memaklumkan akan meneliti lebih lanjut keterangan saksi yang mendakwa wang berjumlah 100 juta rupiah (RM22,662) diserahkan kepada Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah.
Jurucakap KPK, Budi Prasetyo berkata, setiap fakta yang dikemukakan sepanjang prosiding mahkamah akan dianalisis oleh pihak pendakwa raya dan penyiasat bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk memperluaskan siasatan.
Menurut beliau, KPK turut akan menyiasat motif, tujuan dan kedudukan pihak yang dikaitkan dengan penyerahan wang berkenaan bagi memastikan sama ada wujud unsur perbuatan menyalahi undang-undang.
Nama Gus Miftah disebut ketika perbicaraan pada 13 Julai lalu apabila seorang saksi mengesahkan berlaku penyerahan wang sebanyak 100 juta rupiah kepada pendakwah itu.
Bagaimanapun, KPK menegaskan setakat ini tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap Gus Miftah dan perkara berkenaan masih dalam proses penelitian berdasarkan fakta yang didedahkan di mahkamah.
Dalam kes sama, Sudewo didakwa menerima ganjaran melebihi 2.34 bilion (RM530,191) selain sebuah keris Nogososro bernilai 15 juta (RM3,400) serta kerja menaik taraf jalan di hadapan kediamannya bernilai 150 juta (RM34,000) ketika berkhidmat sebagai Ahli Suruhanjaya V Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.
Pendakwa raya mendakwa semua pemberian itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang disandang Sudewo ketika itu, manakala perbicaraan kes berkenaan masih diteruskan di Mahkamah Tindak Pidana Korupsi (Tipikor) Semarang. - Agensi