Katak demam bernilai RM17,000 dirampas

Iklan
Anggota serbuan melakukan pemeriksaan ke atas stor penyimpanan membawa kepada penemuan dan rampasan katak spesies dilindungi bernilai tinggi.FOTO BRIGED TENGGARA PGA

KUANTAN – Seorang peniaga warga emas ditahan kerana memiliki 34 katak demam bernilai kira-kira RM500 seekor dan disimpan di sebuah stor di Jalan Tras, Bentong pada Rabu.

Lelaki berusia 66 tahun itu gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit sah bagi memiliki spesies hidupan liar dilindungi sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan Ops Bersepadu Khazanah kira-kira jam 5 petang dijalankan anggota Pasukan Khas Batalion 7 PGA bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Menurutnya, bertindak hasil risikan dan maklumat, pasukan serbuan membuat pemeriksaan di stor sebelum menemui katak demam dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Iklan

Katak Deman dipercayai mendapat permintaan dalam kalangan pengemar makanan eksotik. FOTO BRIGED TENGGARA PGA

“Siasatan awal mendapati, katak dianggarkan bernilai RM17,000 diperoleh suspek daripada penduduk Orang Asli di Kampung Gebak dan Kampung Gabong, Bentong.

Iklan

“Suspek mendakwa pembeli akan menghubunginya untuk membuat tempahan dan haiwan itu dipercayai turut dijual kepada beberapa premis makanan eksotik di sekitar negeri ini,” katanya.

Katak-katak yqng ditemui dibungkus dipercayai siap untuk diedarkan kepada pelanggan. FOTO BRIGED TENGGARA PGA

Ahmad Radzi berkata, semua haiwan dirampas sebelum diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Risikan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan serta membanteras aktiviti pemilikan, penyimpanan dan perdagangan hidupan liar dilindungi tanpa lesen atau permit sah, selain memastikan spesies terancam terus dipelihara daripada dieksploitasi,” katanya.