Rezeki bertahan demi sembilan anak

Iklan
Gerena Beevi (kiri) bersama ahli keluarganya menunjukkan antara menu utama yang menjadi kegemaran pelanggan.

IPOH – Bermula dengan kegagalan sebuah restoran pada penghujung tahun 1997, siapa sangka ketabahan seorang ibu dalam membesarkan sembilan anak akhirnya membuahkan hasil apabila perniagaan Kashmiri Briyani yang diusahakannya sejak hampir tiga dekad lalu terus berkembang sehingga memiliki dua premis di Angsana Mall Ipoh.

Pemiliknya, Gerena Beevi Gulam Hithir berkata, kegagalan pada peringkat awal tidak mematahkan semangatnya apabila beliau mengambil keputusan untuk memulakan semula perniagaan di pusat beli-belah tersebut pada tahun 1998.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu kawasan sekitar Angsana Mall masih belum pesat membangun dan sambutan pelanggan agak perlahan. Namun, beliau memilih untuk terus bertahan tanpa berputus asa.

Perniagaan Gerena Beevi terus bertahan hasil sokongan keluarga dan semua pihak yang membantu meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Iklan

“Perjalanan perniagaan saya tidak sentiasa mudah. Ada masa naik, ada masa turun, tetapi saya percaya setiap rezeki datang daripada ALLAH SWT.

"Saya terus berusaha sehingga hari ini dan alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus,” katanya ketika ditemui Sinar Bisnes.

Iklan

Gerena Beevi berkata, cabaran terbesar yang dihadapinya ialah mengimbangi tanggungjawab menguruskan perniagaan sambil membesarkan sembilan orang anak yang ketika itu masih bersekolah.

Katanya, selain perlu menyediakan perbelanjaan harian keluarga, beliau juga menanggung kos sewa premis dan yuran pendidikan anak-anak sehingga ada yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Bukan mudah membesarkan sembilan orang anak. Saya berniaga, menghantar mereka ke sekolah, kemudian datang membuka kedai.

"Pernah juga saya membawa mereka bersama ke premis kerana tiada pilihan,” katanya.

Menurut beliau, dugaan hidup bertambah berat apabila kehilangan dua orang anak. Namun, beliau tetap cekal meneruskan kehidupan demi keluarga.

Dalam pada itu, Gerena Beevi mengakui bahawa sokongan serta sikap bertolak ansur pihak pengurusan UDA Holdings yang menguruskan Angsana Mall Ipoh banyak membantunya untuk terus bertahan, terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, beliau pernah tertunggak bayaran sewa selama beberapa bulan, namun diberikan kelonggaran untuk menjelaskan tunggakan tersebut secara berperingkat tanpa dikenakan sebarang faedah tambahan.

Mengulas mengenai keunikan premisnya, Gerena Beevi berkata beliau memilih nama Kashmiri Briyani kerana mahu menampilkan identiti yang berbeza daripada premis makanan lain di pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, restoran itu menawarkan hidangan berinspirasikan Pakistan dengan resipi yang dibangunkan sendiri bersama seorang cef berpengalaman.

Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah nasi briyani, ayam bawang, ayam tandoori dan roti naan, selain lamb shank yang disediakan mengikut tempahan atau pada bulan Ramadan.

Beliau berkata, antara rahsia mengekalkan pelanggan ialah memastikan semua makanan dimasak segar setiap hari dan turut disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya percaya menjaga kualiti makanan dan berkongsi rezeki dengan orang lain menjadi antara faktor pelanggan terus menyokong perniagaan ini,” katanya.