'Quiet hiring' revolusi senyap dunia kerja

Iklan
Quiet hiring boleh memberi manfaat kepada majikan dan pekerja sekiranya disokong oleh tadbir urus yang baik. Gambar kecil: Alvin Desfiandi

QUIET hiring, iaitu strategi syarikat mengisi jurang kemahiran dan keperluan tenaga kerja melalui penempatan semula serta peluasan peranan pekerja sedia ada tanpa mengambil pekerja baharu, semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Walaupun istilah tersebut masih belum diklasifikasikan sebagai kategori khusus dalam statistik tenaga buruh atau instrumen tinjauan sumber manusia, pendekatan itu dilihat selari dengan perubahan pasaran pekerjaan susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Iklan
Iklan

Ketua Ekonomi Center for Market Education, Alvin Desfiandi berkata, pelbagai kajian menunjukkan banyak pekerjaan di Malaysia kini sedang melalui proses penstrukturan semula berbanding dihapuskan sepenuhnya.

Katanya, Bank Dunia menganggarkan 4.2 juta pekerja di Malaysia, atau kira-kira 28 peratus daripada tenaga buruh negara, dikategorikan sebagai sangat terdedah kepada AI generatif.

Iklan

"Kumpulan ini tertumpu dalam pekerjaan kolar putih, khususnya dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan serta perkhidmatan profesional.

"Situasi ini menunjukkan banyak pekerjaan sedang mengalami pengagihan semula tugasan berbanding kehilangan pekerjaan secara langsung.

Iklan

"Kesannya, keadaan ini mewujudkan keperluan untuk penempatan semula pekerja secara dalaman dan peluasan skop tugas yang merupakan komponen utama dalam quiet hiring," katanya kepada Sinar Bisnes.

Alvin berkata, antara faktor yang mendorong amalan quiet hiring ialah peningkatan penggunaan AI dan automasi yang mengubah keperluan dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Beliau berkata, analisis Bank Dunia bersama beberapa kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan rakan akademik menunjukkan Malaysia sedang berdepan perubahan teknologi yang mengurangkan keperluan terhadap tugas rutin, selain meningkatkan permintaan bagi tugasan yang memerlukan analisis, pertimbangan serta penyepaduan maklumat.

"Banyak pekerjaan perkeranian dan pekerjaan rutin berkemahiran sederhana mempunyai potensi automasi yang tinggi, manakala tugasan bukan rutin semakin berkembang," katanya.

Alvin turut berkata pekerja kini meletakkan jangkaan yang lebih tinggi terhadap peluang pembangunan kerjaya dan peningkatan kemahiran dalam organisasi.

Beliau merujuk kepada kajian Randstad Workmonitor 2025 yang mendapati 55 peratus pekerja di Malaysia akan mempertimbangkan untuk berhenti kerja sekiranya pengurus mereka tidak menyokong pembangunan kerjaya.

Selain itu, 35 peratus responden menyatakan mereka tidak menerima sebarang peluang pembangunan kerjaya dalam tempoh 12 bulan sebelumnya.

"Oleh itu, saya percaya quiet hiring didorong bukan sahaja oleh ketidaktentuan ekonomi dan usaha mengoptimumkan kos, tetapi juga oleh pendedahan kepada AI, pertumbuhan pekerjaan yang lebih perlahan dalam peranan rutin, serta sokongan terhadap mobiliti dalaman dan peningkatan kemahiran yang masih tidak sekata," katanya.

Mengulas mengenai kesannya terhadap pekerja, Alvin berkata, amalan quiet hiring mampu membuka peluang kepada pekerja untuk memegang peranan yang lebih berkemahiran sekiranya dilaksanakan secara terancang.

Tambah beliau, kajian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mendapati penerapan AI meningkatkan kesedaran terhadap peranan teknologi, selain menggalakkan sesetengah pekerja beralih kepada tugas seperti menyelia sistem AI, menyelaras tugasan dan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pendekatan tersebut turut membawa risiko sekiranya organisasi gagal menyediakan latihan, sokongan dan ganjaran yang bersesuaian.

"Beberapa kajian menunjukkan automasi boleh meningkatkan intensiti kerja. Kajian panel misalnya mendapati peranan hibrid yang menggabungkan tugasan teknikal, penyeliaan dan penyelarasan mempunyai intensiti kerja yang lebih tinggi.

"Kepuasan pekerja pula bergantung kepada sama ada ganjaran dan peluang pembangunan kerjaya berkembang seiring dengan peningkatan tanggungjawab," katanya.

Menurut Alvin, quiet hiring boleh memberi manfaat kepada majikan dan pekerja sekiranya disokong oleh tadbir urus yang baik.

"Apabila majikan memanfaatkan AI untuk mewujudkan peranan hibrid yang tersusun, disokong dengan latihan, laluan pembangunan kerjaya yang jelas serta pampasan yang adil, pekerja berpotensi beralih kepada pekerjaan yang lebih berdaya tahan.

"Namun, jika skop kerja diperluaskan tanpa latihan, pengiktirafan dan pengurusan beban kerja yang sesuai, ia boleh meningkatkan risiko tekanan kerja, fenomena quiet quitting serta kadar pekerja meninggalkan organisasi," katanya.

Beliau menjangkakan quiet hiring yang dipacu AI akan terus menjadi sebahagian daripada landskap tenaga kerja Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan sektor swasta memperluaskan inisiatif pembangunan kemahiran supaya penempatan semula pekerja dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan mampan.