Patin Siam ditangkap semula sebelum Festival Memancing Agro Selangor - Izham

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu dan Izham Hashim

SHAH ALAM - Semua ikan patin Siam yang tersilap dilepaskan ke dalam Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam di sini akan ditangkap semula sebelum Festival Memancing Agro Selangor 2026 berlangsung pada 26 Julai ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, penganjur program itu juga telah mengakui kesilapan dan memberi komitmen untuk menangkap semula spesies ikan asing itu menggunakan jaring serta kaedah lain.

Iklan
Iklan

Katanya, pihak penganjur kini turut menjalankan proses saringan bagi memastikan hanya spesies ikan yang dibenarkan berada di tasik menjelang pertandingan memancing itu.

"Saya dimaklumkan mereka sedang berusaha menangkap semula semua ikan patin Siam yang terlepas.

Iklan

"Mereka sudah memberi komitmen untuk menyelesaikan perkara itu dan kita akan pastikan proses tangkapan semula dibuat secepat mungkin," katanya ketika mengulas isu pelepasan ikan patin Siam yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kaki pancing menjelang Festival Memancing Agro Selangor.

Izham berkata, spesies yang dimaksudkan ialah patin Siam atau patin Chao Phraya bukannya patin buah seperti yang didakwa pada peringkat awal.

Iklan

Menurutnya, patin Chao Phraya merupakan spesies ikan asing yang bersaiz besar dan tidak sepatutnya dilepaskan ke tasik bagi tujuan pertandingan.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, penganjur Festival Memancing Agro Selangor @ Shah Alam 2026 memohon maaf susulan kontroversi pelepasan ikan patin Siam di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam di sini pada Ahad lalu.

Festival Memancing Agro Selangor @ Shah Alam 2026 dijadual berlangsung pada Ahad minggu depan di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam.

Program julung kali itu dianjurkan bersama Jawatankuasanya Tetap Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor serta MBSA dengan kerjasama Ummah Care dan 1StopFishing Malaysia bagi mempromosikan Agro Selangor serta industri perikanan negeri di samping menggalakkan aktiviti rekreasi dan mengeratkan hubungan komuniti menerusi sukan memancing.

Bagaimanapun, majlis pelepasan ikan yang diadakan pada Ahad lalu sebagai gimik pembukaan festival itu mencetuskan kontroversi selepas didakwa membabitkan pelepasan ikan patin Siam iaitu spesies ikan asing, ke Tasik Barat.