PUTRAJAYA - Usaha berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkukuh pembangunan luar bandar terus diterjemahkan menerusi peranan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang kini muncul antara pemacu utama pembangunan ekonomi bumiputera di Pulau Pinang.
Ia dilaksanakan melalui melalui pembangunan usahawan, industri halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perumahan mampu milik serta keterjaminan makanan.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PERDA, Datuk Ir Dr Shaik Hussien Mydin berkata, agensi berkenaan sejak awal penubuhannya memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat luar bandar termasuk memperkasa masyarakat luar bandar agar memiliki peluang ekonomi yang lebih mampan, berdaya saing dan mampu meningkatkan taraf hidup secara berterusan.
Menurut beliau, PERDA yang ditubuhkan pada 1983 kini memfokuskan pembangunan di kawasan kampung melibatkan lima kawasan Parlimen luar bandar di Pulau Pinang.
"Tumpuan kami adalah membangunkan ekosistem luar bandar yang lengkap merangkumi pembangunan usahawan, penyediaan perumahan berkualiti, pembangunan modal insan serta peningkatan kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan hala tuju KKDW," katanya dalam Podcast Cerita Desa Kita Episod 4.
Beliau berkata, antara kekuatan utama PERDA ialah keupayaannya menyediakan bantuan secara menyeluruh bermula daripada pembiayaan, latihan, penyediaan premis sehingga peluang pasaran kepada usahawan.
“Sama ada bantuan perumahan mahupun sokongan keusahawanan, PERDA menyediakan ekosistem pembangunan yang menyeluruh bermula daripada latihan, pembiayaan, penyediaan premis, pembangunan kapasiti sehingga akses kepada pasaran bagi memastikan masyarakat luar bandar mampu berkembang daripada penerima bantuan kepada pencipta peluang ekonomi,” katanya.
Shaik Hussien berkata, pendekatan itu diterjemahkan secara lebih agresif menerusi pembangunan industri halal yang kini dilihat bukan lagi sekadar sektor sokongan, sebaliknya antara pemacu ekonomi baharu luar bandar dengan potensi pasaran berskala antarabangsa.
Menurut beliau, PERDA mula membangunkan sektor tersebut sejak 2005 menerusi penyediaan hampir 100 ekar (40 hektar) tanah untuk industri halal selain memperluaskan fasiliti sedia ada melalui pembangunan Halal Park Fasa 2 melibatkan kos RM35 juta.
“Sektor halal merupakan antara pemacu utama ekonomi yang bernilai berbilion ringgit. Jadi PERDA menyediakan pelbagai platform dan peluang kepada usahawan di Pulau Pinang, khususnya usahawan bumiputera, untuk menceburi serta mengembangkan perniagaan dalam industri halal.
“Ramai jutawan halal di Pulau Pinang adalah bermula daripada PERDA termasuklah Jeruk Madu Pak Ali yang berkembang melalui kemudahan kilang disediakan oleh PERDA, yang sehingga kini masih dimiliki oleh PERDA.
“Kita memberikan bantuan kewangan tanpa faedah, sewa bangunan paling murah. Tidak ketinggalan PERDA menyediakan kursus kursus usahawan yang merangkumi perakaunan sehingga pemasaran secara percuma," kata Shaik Hussien.
Beliau berkata, kejayaan usahawan tidak hanya bergantung kepada bantuan kewangan, sebaliknya memerlukan pembentukan minda, daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
EXPERT bantu usahawan adaptasi digital
Penganjuran Expo PERDA (EXPERT) turut menjadi platform strategik mempertemukan usahawan dengan agensi kerajaan, institusi kewangan, pemain industri dan bakal pelabur bagi memperluaskan jaringan perniagaan serta meningkatkan daya saing perusahaan luar bandar.
Shaik Hussien berkata, program berkenaan bukan hanya memberi ruang jualan kepada usahawan kecil dan sederhana, malah membuka peluang networking bersama agensi kerajaan, pemain industri serta usahawan berjaya.
Menurut beliau, penganjuran EXPERT turut dijadikan medium mempercepatkan proses adaptasi digital dalam kalangan usahawan apabila semua transaksi pembayaran dilaksanakan secara dalam talian.
Fokus pembangunan TVET
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PERDA kini memberi perhatian besar terhadap pembangunan TVET melalui Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-Tech) di Nibong Tebal yang menawarkan latihan kemahiran mengikut kehendak industri semasa.
Katanya, antara bidang diberikan tumpuan termasuk automotif, fesyen, kimpalan dan teknologi kenderaan elektrik (EV) susulan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir di dalam serta luar negara.
“Kita juga ada pusat belajar untuk EV BYD. Semua di Perda Tech yang disediakan secara percuma,” katanya.
Shaik Hussien berkata, persepsi masyarakat yang selama ini melihat TVET sebagai pilihan kedua perlu diubah kerana sektor tersebut kini menawarkan peluang kerjaya lebih pantas dengan pendapatan kompetitif.
“TVET adalah yang terbaik di dunia, bukan hanya di Malaysia. Negara kekurangan pakar yang mempunyai kemahiran hands-on,” katanya.
Beliau berkata, antara kursus yang mendapat permintaan tinggi ialah kimpalan bawah laut yang mampu memberikan pendapatan hampir RM10,000 kepada graduan sebaik memasuki pasaran kerja.
Penyediaan rumah mampu milik
Selain membantu pembangunan modal insan, PERDA turut meneruskan agenda sosial menerusi penyediaan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang termasuk skim sewa beli pada kadar sekitar RM200 sebulan.
Menurut beliau, lebih 10,000 rumah telah dibangunkan PERDA setakat ini dan kebanyakannya kini menjadi aset bernilai tinggi kepada pemilik asal.
Beliau berkata, penyediaan perumahan mampu milik bukan sekadar memenuhi keperluan memiliki tempat tinggal, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup, kestabilan ekonomi keluarga dan kesejahteraan komuniti luar bandar secara menyeluruh.
"Kita mahu PERDA terus menjadi rakan pembangunan yang dipercayai oleh rakyat dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui peluang ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan yang mampan agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.