GEORGE TOWN – Seorang lelaki tempatan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru pada awal pagi 10 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berkenaan dikenali sebagai Shahir Zainul, 45, dan kali terakhir dilihat keluar dari rumah kira-kira jam 5 pagi.
Menurutnya, kehilangan Shahir dilaporkan oleh ibunya, Salmah Shamsudin pada 12 Jun sebelum polis mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang.
“Bagaimanapun, motosikal Yamaha Lagenda berwarna biru bernombor pendaftaran JLD 142 miliknya telah ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Lebuh Bukit Jambul sebelum diserahkan semula kepada ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Shahir tidak bekerja dan beralamat di 1-4-3, Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru, Bayan Lepas.
Sehubungan itu tambahnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Shahir supaya tampil membantu siasatan.
"Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di talian 04-8662222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya lagi.