SAR diperluas cari pemancing jatuh laut

Iklan
Operasi SAR diteruskan pada hari kedua bagi mencari mangsa yang hilang. Maritim Malaysia Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemancing yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut berhampiran Jambatan Pulau Pinang diteruskan pada hari kedua dengan kawasan pencarian diperluaskan kepada 15 batu nautika persegi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berkata, operasi yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu dilaksanakan bagi meningkatkan usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemukan sejak insiden berkenaan dilaporkan.

Iklan
Iklan

"Operasi bersepadu tersebut diterajui oleh Maritim Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat lain.

"Antara aset yang digerakkan termasuk bot ronda Maritim Malaysia, sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM), sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dua bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sebuah bot pasukan bomba sukarela," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Pada Rabu, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika memancing di Jambatan Pulau Pinang arah pulau menghala Perai di sini.

Mangsa berusia 39 tahun dikatakan memancing bersama beberapa rakannya di tiang nombor lima jambatan itu sebelum dipercayai terjatuh ke laut.

Iklan

Tambah Maritim Malaysia lagi, usaha pencarian diteruskan secara menyeluruh bagi meningkatkan peluang mengesan mangsa selain segala perkembangan dan status terkini operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.