PERCATURAN bertahan yang dibuat Thomas Tuchel ketika England hanya berbaki beberapa minit untuk melangkah ke final Piala Dunia 2026 akhirnya memakan diri apabila Argentina bangkit menjaringkan dua gol lewat permainan untuk menang 2-1 pada aksi separuh akhir di Atlanta, awal pagi Khamis.
The Three Lions berada di landasan terbaik untuk mengakhiri penantian 60 tahun ke pentas final selepas Anthony Gordon meledak gol pembukaan pada minit ke-55 hasil hantaran tepat Morgan Rogers.
Namun, kelebihan itu menyaksikan England mula mengubah pendekatan dengan memberi tumpuan kepada bertahan sambil membiarkan Argentina menguasai sepenuhnya rentak permainan.
Juara bertahan itu mengambil kesempatan daripada perubahan taktikal berkenaan apabila terus mengasak kubu England sehingga hampir keseluruhan permainan berlangsung di kawasan pertahanan Three Lions.
Tuchel kemudian membuat keputusan mengeluarkan tonggak tengah, Declan Rice, selain Reece James yang mengalami kecederaan sebelum memasukkan Dan Burn dan Nico O'Reilly bagi memperkukuhkan benteng pertahanan.
England turut beralih kepada formasi lebih defensif 5-4-1 dalam usaha mempertahankan kelebihan tipis, namun tindakan itu secara tidak langsung mengundang lebih banyak tekanan daripada Argentina.
Hasilnya, Enzo Fernandez menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang pada minit ke-85 sebelum Lionel Messi mempamerkan sentuhan magisnya apabila mencipta bantuan gol kepada Lautaro Martinez yang menyempurnakan jaringan kemenangan dalam masa kecederaan.
Tuchel kemudian mempertaruhkan Ivan Toney sebagai penyerang tambahan selain mengarahkan Burn bermain lebih tinggi bagi memburu gol penyamaan, namun segala-galanya sudah terlambat apabila Argentina berjaya mengawal baki permainan.
Statistik turut menggambarkan tekanan hebat yang diterima England apabila mereka terpaksa melakukan 26 kali 'clearance' selepas mendahului, manakala sebahagian besar babak kedua berlangsung di kawasan sendiri ketika Argentina terus menguasai penguasaan bola.
Kekalahan dramatik itu menyaksikan England sekali lagi kempunan untuk beraksi di final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966, manakala Argentina meneruskan impian mempertahankan kejuaraan apabila bakal berdepan Sepanyol pada aksi final awal pagi Isnin ini (3 pagi waktu Malaysia).