Messi sekali lagi selamatkan Argentina

Iklan
Messi (kiri) sekali lagi memainkan peranan penting dalam kebangkitan 2-1 Argentina ke atas England di separuh akhir. Foto: Agensi

LIONEL Messi sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pemain yang sukar ditandingi apabila mencipta dua bantuan gol penting ketika Argentina bangkit menewaskan England 2-1 pada separuh akhir Piala Dunia 2026 di Atlanta pada awal pagi Khamis, sekali gus mengesahkan tempat ke final bertemu Sepanyol.

Juara bertahan itu hampir dikejutkan selepas Anthony Gordon meletakkan England di depan pada minit ke-55, namun Argentina enggan mengangkat bendera putih apabila terus menguasai permainan sehingga memaksa The Three Lions bertahan hampir sepanjang babak kedua.

Iklan
Iklan

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Enzo Fernandez menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat permainan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Ketika perlawanan seakan menuju masa tambahan, Messi tampil mencetus magis apabila melakukan hantaran tepat kepada Lautaro Martinez yang tenang menyempurnakan gol kemenangan dalam masa kecederaan.

Iklan

Kemenangan itu memastikan Argentina mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut sambil terus menghidupkan impian mempertahankan kejuaraan.

Sepanjang perlawanan, Messi sekali lagi menjadi nadi serangan Argentina apabila berjaya melengkapkan lapan gelecek daripada 11 percubaan selain memenangi 10 perebutan bola, sekali gus membuktikan pengaruh besarnya meskipun sudah berusia 39 tahun.

Iklan

Argentina kini hanya selangkah untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia kali keempat selepas kejayaan pada edisi 1978, 1986 dan 2022.