PLUS perluas #LANE FREEDOM JustGO ke Wilayah Selatan

Iklan
PLUS perluas #LANE FREEDOM JustGO ke wilayah Selatan. Foto hiasan

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperluaskan pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka berasaskan pengecaman nombor plat kenderaan (ANPR) menerusi platform JustGO ke enam lagi plaza tol di wilayah Selatan bermula jam 10 pagi pada Rabu.

Menurut PLUS, pelaksanaan itu membolehkan pengguna berdaftar menikmati pengalaman #LANE FREEDOM, iaitu kebebasan menggunakan mana-mana lorong tol tanpa perlu memilih lorong khusus mengikut kaedah pembayaran sedia ada.

Iklan
Iklan

"Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi, mendaftar akaun dan kenderaan serta memautkan kad pembayaran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pengaktifan terbaharu melibatkan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Iklan

Enam plaza tol berkenaan ialah Plaza Tol Mambau dan Lukut di SPDH, Plaza Tol Kempas di NSE serta Plaza Tol Tanjung Kupang, Lima Kedai dan Perling di LINKEDUA.

PLUS merupakan antara syarikat konsesi lebuh raya mengambil bahagian dalam platform JustGO menerusi pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan ANPR pertama diperkenalkan dalam industri lebuh raya di Malaysia.

Iklan

Sistem itu mula dilaksanakan menerusi projek rintis awam di sembilan plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari lalu.

Pelaksanaannya kemudian diperluaskan ke Plaza Tol Jitra di Lebuhraya Utara-Selatan dan Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) pada Jun lepas.

PLUS memaklumkan, pengaktifan di Wilayah Selatan merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan penggunaan JustGO di rangkaian lebuh raya kendaliannya sebelum ia dilaksanakan di semua plaza tol PLUS bermula Ogos nanti.