JAKARTA – Seorang doktor pelatih kepakaran anestesiologi ditemukan meninggal dunia di kawasan semak berhampiran Hospital Umum Daerah (RSUD) Tengku Rafian, Siak, Riau, pada Selasa.
Kejadian itu mengundang suasana pilu apabila isteri mangsa, yang juga seorang doktor, dilihat tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat jasad suaminya di lokasi penemuan.
Menurut saksi di tempat kejadian, wanita berkenaan menangis sambil beberapa kali memanggil nama suaminya sebelum ditenangkan oleh orang ramai.
Siasatan awal mendapati pergerakan terakhir mangsa, dikenali sebagai Dr Alex Cristo Loris, sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hospital.
Rakaman itu menunjukkan mangsa berjalan bersendirian meninggalkan kawasan hospital melalui pintu hadapan berhampiran Pos Kawalan Keselamatan II sebelum menghala ke luar kawasan.
Berpandukan rakaman berkenaan, anggota keselamatan kemudian melakukan pencarian dan menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap di kawasan semak tidak jauh dari hospital.
Turut ditemui berhampiran lokasi ialah sebuah beg galas hitam yang dipercayai milik mangsa.
Polis kemudian merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan, termasuk beg mengandungi peralatan perubatan, dompet, telefon bimbit dan kad pengenalan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Siak, AKP Raja Kosmos berkata, punca kematian mangsa masih belum dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, merakam percakapan beberapa saksi, mengumpul bahan bukti serta berkoordinasi dengan pihak hospital bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya, keputusan bedah siasat yang akan dijalankan di Hospital Bhayangkara, Pekanbaru dijangka menjadi petunjuk penting dalam mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kemungkinan wujud unsur jenayah dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai. - Agensi.