Polis tahan lelaki kes ugut tembak pegawai AKPS

Iklan
Jit Huey

KLANG - Seorang lelaki ditahan pada Selasa untuk siasatan kes ugutan tembak pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tangkapan lelaki berusia 46 tahun itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Iklan
Iklan

"Semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod lampau.

"Kes masih dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, laporan kes itu diterima pihaknya pada Selasa daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di bawah AKPS.

Media sebelum itu melaporkan AKPS Pelabuhan Klang membuat laporan polis susulan seorang pegawainya menerima ugutan untuk ditembak ketika sedang menjalankan tugas.

Iklan

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata sebarang bentuk ugutan, intimidasi, gangguan atau cubaan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas merupakan perbuatan serius dan tidak akan dikompromi.

Nik Ezanee berkata, AKPS sentiasa mempertahankan keselamatan serta kebajikan pegawainya dalam melaksanakan amanah menguatkuasakan undang-undang dan melindungi keselamatan sempadan negara.

Berikutan itu, AKPS memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan yang sedang dijalankan dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.