Peluang menang PS5, Nintendo Switch 2 di Riuh BOLA SINAR

Iklan
Zamri

SHAH ALAM – Orang ramai khususnya peminat bola sepak berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk PlayStation 5 Digital Console, Nintendo Switch 2 dan gajet elektronik lain pada program Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM yang berlangsung pada 19 dan 20 Julai ini.

Program selama 12 jam bermula dari jam 5 petang hingga 5 pagi di Restoran Hakim, Jalan Kristal, Seksyen 7 di sini itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga sebelum kemuncaknya menerusi tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, program berkenaan bukan sekadar menghimpunkan peminat bola sepak untuk menyaksikan aksi final, malah menyediakan pelbagai aktiviti interaktif serta hadiah menarik kepada pengunjung.

Menurut beliau, seawal jam 5 petang, pengunjung terutama kanak-kanak dan ibu bapa boleh menyertai aktiviti seperti sesi gelecek bola, ulasan bola sepak serta pelbagai permainan lain yang menawarkan hadiah wang tunai.

Iklan

Pengunjung yang memeriahkan Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM di Restoran Hakim pada 19 dan 20 Julai ini berpeluang membawa pulang hadiah serta wang tunai keseluruhan hampir RM10,000.

“Selepas Maghrib pula, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pengisian termasuk aktiviti Sorak Sampai Serak, pelancaran minuman isotonik Ehsan, bual bicara SportsMatters, kuiz Smartlympics, sesi teh tarik bersama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi serta pelbagai lagi acara menarik.

Iklan

Beliau berkata, selain hadiah utama, pelbagai lagi hadiah menarik turut disediakan sepanjang program berlangsung.

Katanya, cabutan bertuah akan diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada sesi petang, sekitar jam 10 malam dan selepas tamat perlawanan akhir.

“Orang ramai digalakkan hadir seawal jam 5 petang untuk membuat pendaftaran sekali gus meningkatkan peluang memenangi hadiah pada cabutan pertama,” katanya.

Dalam pada itu, Zamri turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kolaborasi dan penaja yang menjayakan program berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama daripada RTM, Kerajaan Negeri Selangor, redONE Mobile, Difflam, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Sukan Negeri Selangor, Persatuan Bola Sepak Selangor serta agensi dan penaja lain amat dihargai.

“Ucapan terima kasih juga kepada YB Mohd Najwan dan pasukannya yang banyak membantu memeriahkan program ini.

“Selain itu, orang ramai juga boleh mengunjungi Jualan Rahmah PKPS yang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan di hadapan Restoran Hakim dari jam 4 petang hingga 6 petang,” katanya.