KKM nafi belanja lebih untuk ubat inovator berbanding generik

Iklan
KKM menegaskan hampir 78 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan ubat-ubatan bagi tahun 2025 diperuntukkan untuk memperoleh ubat generik. Foto hiasan

 

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan hampir 78 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan ubat-ubatan bagi tahun 2025 diperuntukkan untuk memperoleh ubat generik.

Iklan
Iklan

Ia sekali gus menolak laporan yang memetik analisis Pharmaniaga Berhad bahawa kerajaan membelanjakan lebih banyak bagi perolehan ubat inovator berbanding ubat generik pada tahun 2025.

KKM dalam satu kenyataan pada Rabu menjelaskan, rekod rasmi kementerian menunjukkan sebanyak RM3.86 bilion dibelanjakan bagi perolehan ubat-ubatan pada tahun lalu menerusi tiga kaedah perolehan kerajaan, termasuk Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan KKM, Kontrak Pusat dan pembelian terus oleh fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Iklan

Menurut kementerian itu, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3.01 bilion atau 77.88 peratus melibatkan ubat generik, manakala RM850 juta atau 22.12 peratus merupakan ubat inovator.

Menurut KKM, data bernilai RM3.495 bilion yang dilaporkan Pharmaniaga secara amnya merujuk kepada dua sumber data iaitu pangkalan data komersial IQVIA yang menyediakan maklumat serta analisis pasaran farmaseutikal dan analisis dalaman syarikat itu sendiri.

Iklan

Awal bulan ini, sebuah portal melaporkan analisis syarikat konsesi farmaseutikal kerajaan itu menunjukkan daripada keseluruhan perbelanjaan farmaseutikal kerajaan berjumlah RM3.5 bilion pada 2025, ubat inovator menyumbang RM2.06 bilion atau 59 peratus daripada jumlah tersebut, berbanding RM1.44 bilion yang dibelanjakan bagi ubat generik.

Ubat import pula merangkumi kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan farmaseutikal, terdiri daripada ubat inovator berpaten (RM1.52 bilion), ubat originator yang patennya telah tamat tempoh (RM541 juta) serta ubat generik import (RM244 juta).

Sementara itu, ubat generik yang dihasilkan dalam negara mencatatkan perolehan RM1.21 bilion, bersamaan kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.

Dalam pada itu, KKM menjelaskan, penggunaan ubat generik terus menjadi komponen utama dalam perbelanjaan ubat kementerian dengan melibatkan 3,170 daripada 3,982 jenis ubat yang diperoleh sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, peratusan nilai perolehan ubat generik turut menunjukkan peningkatan ketara daripada 54.22 peratus pada 2021 kepada 77.88 peratus pada 2025, selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang mengutamakan penggunaan ubat generik.

Pada masa sama, KKM memaklumkan komitmennya untuk menyokong pembangunan industri farmaseutikal tempatan diteruskan apabila nilai perolehan ubat generik buatan tempatan meningkat daripada RM1.14 bilion (44.21 peratus) pada 2023 kepada RM1.49 bilion (49.57 peratus) pada 2025.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan mengingatkan semua pihak supaya memastikan ketepatan data, sumber maklumat dan skop analisis disemak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau rumusan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan perolehan ubat-ubatan KKM.

"Kementerian akan terus mengutamakan perolehan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan, di samping memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berhemah serta mampan.

"KKM juga akan terus memperkukuh dasar perolehan ubat berasaskan keperluan klinikal dan jaminan kesinambungan bekalan, demi memastikan akses yang saksama kepada ubat-ubatan berkualiti untuk seluruh rakyat Malaysia," tegas kementerian itu.