CETUSAN idea daripada angka ‘2027’ akhirnya membuahkan hasil apabila rekaan anak muda, Aiman Amri, 23, dipilih sebagai logo rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 sekali gus menjadikan beliau pemenang pertandingan reka bentuk logo rasmi temasya berkenaan.
Graduan Diploma Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, dia tidak menyangka rekaan yang dihasilkan daripada ilham angka berkenaan berjaya mendapat pengiktirafan, apatah lagi hanya mempertaruhkan satu penyertaan logo bersama satu rekaan maskot dalam percubaan pertama.
Menurutnya, idea menghasilkan logo berkenaan tercetus apabila beliau melihat potensi angka ‘2027’ untuk diolah menjadi satu reka bentuk yang mempunyai identiti serta maksud tersendiri.
“Saya cuba fikir bagaimana nombor ‘27’ boleh dibentuk menjadi satu reka bentuk. Oleh sebab Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Sarawak, saya memilih Burung Kenyalang sebagai elemen utama kerana ia melambangkan identiti negeri itu.
“Bahagian paruh burung tersebut juga saya olah menyerupai angka ‘27’, manakala imej atlet yang sedang melompat dimasukkan sebagai simbol semangat kesukanan dan inspirasi untuk terus mencipta kejayaan,” katanya.
Aiman yang kini menyambung pengajian Ijazah Reka Bentuk Grafik secara sambilan berkata, proses menghasilkan logo itu mengambil masa hampir dua bulan bermula daripada cetusan idea, lakaran awal menggunakan pensel sehingga proses kemasan dalam bentuk digital.
Jelasnya, semua proses tersebut dihasilkan sendiri daripada lakaran pensel ke digital tanpa menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Sebaliknya, ia bergantung kepada kemahiran dan kreativiti yang saya pelajari. Banyak cabaran untuk menyiapkan reka bentuk itu.
“Antaranya adalah memastikan reka bentuk itu ringkas tetapi masih mampu menyampaikan mesej yang jelas,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan itu, dia yang bekerja sebagai Pereka Multimedia di Sinar Harian memberitahu, pandangan dan kritikan daripada rakan sekerja banyak membantu dalam memperkemaskan hasil akhir rekaan tersebut.
“Saya minta pendapat daripada rakan-rakan sekerja dan mereka memberikan beberapa komen untuk penambahbaikan. Daripada situ, saya cuba perbaiki sedikit demi sedikit sehingga menghasilkan reka bentuk yang lebih kemas.
“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kritikan dan pandangan orang lain penting untuk membantu kita menghasilkan karya yang lebih baik.
“Bagaimanapun, saya sangat gembira dan tidak menyangka akan menang. Mungkin idea saya bukan yang terbaik, tetapi ada makna,” ulasnya.