Trump kalah lagi, mangsa serangan seksual terima RM22.8 juta

Iklan
Bekas kolumnis majalah Elle itu tampil mendedahkan perbuatan tidak bermoral Trump kepada umum pada 2019. Foto Agensi

NEW YORK - Penulis New York, E Jean Carroll akhirnya menerima wang pampasan berserta faedah daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi saman serangan seksual dikemukakannya tiga tahun lalu.

Pemindahan wang tersebut dibuat beberapa hari selepas Trump gagal mendapatkan perintah untuk menyekat pembayaran itu dalam rayuan terakhirnya kepada Mahkamah Agung AS.

Iklan
Iklan

Sebanyak AS$5.6 juta (RM22.8 juta) telah dipindahkan oleh sistem mahkamah AS yang sebelum ini memegang wang tersebut ke dalam akaun yang diwujudkan untuk Carroll oleh peguamnya, Roberta Kaplan.

Seorang hakim mengarahkan pemindahan tersebut selepas Mahkamah Agung pada akhir bulan lalu mengekalkan keputusan juri yang mendapati pemimpin Republikan itu melakukan penderaan seksual terhadap Carroll dan memfitnahnya menerusi catatan di media sosial pada 2022 yang menyebut dakwaan wanita itu sebagai 'penipuan' dan 'konspirasi' yang direka sepenuhnya.

Iklan

Jurucakap pasukan guaman Trump bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan menuduh kes itu sebagai 'tindakan tidak adil yang dibiayai oleh puak Demokrat'.

Bekas kolumnis majalah Elle itu tampil mendedahkan perbuatan tidak bermoral Trump kepada umum pada 2019. Carroll mendakwa beliau diserang secara seksual di bilik persalinan gedung beli-belah Bergdorf Goodman pada 1996.

Iklan

Beliau kemudiannya memfailkan saman pada 2022 yang memberi peluang sementara untuk membuka semula kes serangan lama yang telah melepasi tempoh had undang-undang.

Pada Mei 2023, juri yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita mendapati Presiden ke-47 AS itu bertanggungjawab atas penderaan seksual dan fitnah terhadap Carroll.

Keputusan itu merupakan salah satu daripada dua kemenangan undang-undang Carroll terhadap Trump.

Pemimpin sarat kontroversi itu dijangka memohon semakan Mahkamah Agung berhubung keputusan pampasan AS$83.3 juta (RM339 juta) melibatkan satu lagi kes fitnah.

Jabatan Kehakiman AS memaklumkan mereka akan menyertai prosiding tersebut yang akan melibatkan isu perundangan berbeza kerana kes berkenaan berkaitan dengan kenyataan Trump ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Presiden. - Agensi